Gerak kerja pilihan raya nikmat buat pejuang

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Keterlibatan dalam gerak kerja pilihan raya merupakan 1001 nikmat daripada Allah s.w.t bagi para pejuang Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika bertemu petugas dan penyokong PAS di UPU Tukau, di sini malam tadi.

Katanya, semasa pilihan raya para petugas dapat melaksanakan pelbagai gerak kerja antaranya ziarah, bertemu wajah, bersalaman, berdialog, mendengar rungutan, mengangkat masalah, memberi sumbangan dan sebagainya.

Tambahnya, semua perbuatan tersebut merupakan amalan kebaikan yang pasti mendapat ganjaran daripada Allah walaupun dilakukan dalam tempoh singkat.

Pun begitu terangnya, itulah komitmen dan kesediaan yang mesti ditunjukkan petugas kepada rakyat Sarawak bahawa PAS sedia memberi khidmat berterusan terutama kebajikan kepada mereka.

Beliau turut mengingatkan petugas bahawa kemenangan sangat berkait rapat pertolongan Allah.

Jelas beliau, kemenangan hanya hadir setelah mendapat pertolongan Allah sebagaimana dinyatakan dalam surah an-Nasr.

Justeru, katanya para petugas PAS wajib bergantung dengan pertolongan Allah.

Beliau memetik iktibar Perang Badar dan Hunain berhubung rasa lemah dan kuat tentera Islam hingga mempengaruhi kecenderungan mereka terhadap pergantungan kepada Allah.

"Ingat, tanpa pertolongan Allah, kita tidak akan menang," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 24/4/2016

Share on Myspace