Arul Kanda, dedahkan semua sebelum dikambinghitamkan

HARAKAHDAILY | .

Dakwaan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy di dalam wawancaranya bersama The Edge bahawa “kemungkinan berlaku penipuan yang besar dan mungkin terdapat kerjasama daripada pihak sebelah kami sendiri” dalam isu kemelut 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar BVI), yang tidak diakui IPIC sebagai anak syarikatnya perlu diberi perhatian segera.

Malah Arul mengeluh, sekiranya apa yang didakwa IPIC itu benar bahawa Aabar BVI tiada kena-mengena dengan syarikat induk itu sebenarnya 1MDB sudah ingkar (in default) dalam membayar hutang sejak Disember 2015.

Sebagai orang terbesar di 1MDB hari ini, sudah tentu Arul dapat mengesan siapa pihak dalaman yang mungkin telah bekerjasama untuk melakukan penipuan sebesar US$3.5 bilion itu. Arul wajib mendedahkan maklumat-maklumat tersebut kepada umum sebelum ada tangan ghaib cuba menutupnya menggunakan OSA.

Memandang Arul sudah berkali-kali menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan, PAS menyarankan Arul mendedahkan segalanya sebelum beliau berundur. Seeloknya Arul dapat bekerjasama dengan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di hari-hari terakhir beliau sebelum bersara untuk merungkai misteri ini.

Ini penting jika Arul ingin mengecapi ketenangan selepas meninggalkan 1MDB kerana pendedahan akan menyebabkan peluang beliau tidak dikambinghitamkan ke atas apa yang berlaku sebelum beliau diberikan amanah menguruskan hutang 1MDB dapat diminimumkan.

Sebagai seorang yang bijak, Arul sudah tentu dapat belajar daripada episod malang yang menimpa bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 Rejab 1437 / 25 April 2016 - HARAKAHDAILY 25/4/2016

Share on Myspace