PRN Sarawak: PAS datang untuk kukuhkan Islam

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Keberadaan PAS di bumi Sarawak adalah untuk mengukuhkan Islam di negeri ini, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS bertanding seperlapan dari kerusi PRN Sarawak kerana mesej dakwah sebagaimana dibawa oleh para nabi.

Jelasnya, usaha tersebut akan berterusan dan tidak pernah tamat hingga mencapai kejayaan kelak.

"Kita jadi pembangkang, kita tidak pernah meninggalkan mesej dakwah. Dakwah Rasul-rasul bukan untuk dapat kuasa semata-mata. Jika zaman ini bukan hendak Putrajaya semata-mata.

"Tetapi kita nak ajak orang kepada Islam, jika tidak ikut, kita akan tetap terus berdakwah hingga mati. Kita bukan hendak kuasa sahaja, inilah sempadan kita dengan parti-parti lain," ujarnya di Rumah Hijau, Lutong, di sini semalam.

Cerita beliau, Nabi Muhammad SAW ditawar dengan kedudukan di Makkah untuk meninggalkan dakwah tetapi baginda menolak.

Begitulah katanya, ketika Rasulullah di Madinah, walaupun menghadapi perang dengan Musyrikin, tetap baginda menyerukan mereka kepada Islam.

Baginda juga terangnya, menghantar surat kepada Kaisar Rom, Kisra Parsi, Raja Mesir, Raja Oman, Raja Muskat, Raja Bahrain dan lain-lain menyeru kepada Islam.

Malah, Nabi SAW ketika menghantar Saiyidina Ali k.w. untuk misi ke Khaibar dan Muadz bin Jabal ke Yaman menegaskan urusan seruan dakwah terlebih dahulu berbanding tindakan lain.

Atas tuntutan sama jugalah terang Tuan Guru, PAS membawa mesej dakwah ke Sarawak sejak dahulu.

Beliau turut mengimbas sejarah di mana walaupun hanya mempunyai satu kerusi, tetapi wakil PAS berjaya mendesak untuk meletakkan Islam dalam Perlembagaan Negara.

Sedangkan menurutnya, draf asal dari Suruhanjaya Reid tidak mencatat perkara penting itu.

Malah katanya, PAS telah berperanan meluaskan Islam dalam kerajaan termasuk di jabatan dan agensi ketika berada bersama BN dahulu.

Fahami Realiti Sarawak

Seru beliau kepada petugas PAS pada PRN Sarawak agar menyedari kemampuan dan cabaran PAS, serta menggunakan uslub terbaik untuk menyantuni masyarakat di sini.

"Berdakwah mereka untuk istiqamah mengamalkan Islam. Sesuai dengan fahaman mereka walaupun belum memahami politik Islam

"Jangan anggap semua orang sama macam kita. Nabi sebut, kami para Nabi dikehendaki meletakkan manusia kena pada tempatnya dan bercakap dengan bahasa yang difahami mereka," jelas beliau.

Nasihatnya, oleh kerana petugas PAS datang dari serata negeri, maka perlu ikut arahan dan memahami isu tempatan.

Tuan Guru turut menyuntik motivasi petugas dengan ingatan kelebihan 700 kali ganda pahala dalam melaksanakan jihad fisabilillah.

Tegasnya, seandainya tidak menang di dunia, pasti menang di akhirat dan perjuangan PAS mahu mencapai kemenangan dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 25/4/2016

Share on Myspace