PAS sertai himpunan menentang tubuh Malaysia

HARAKAHDAILY | .

PAS SERTAI HIMPUNAN PARTI-PARTI PEMBANGKANG MENENTANG PENUBUHAN MALAYSIA (25 APRIL 1963)

PADA hari ini dalam tahun 1963, PAS telah menyertai perhimpunan parti-parti pembangkang di Sulaiman Court, Batu Road (Jalan TAR), Kuala Lumpur untuk menentang penubuhan Malaysia.

Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy yang mewakili PAS dalam himpunan anjuran parti-parti pembangkang ini telah menyampaikan ucapan mewakili pandangan PAS di mana PAS menyifatkan Malaysia adalah satu rancangan yang "membahayakan kedudukan bangsa Melayu" dan "sedikit demi sedikit (bangsa Melayu) akan tenggelam di dalam tanah airnya sendiri."

Isu penubuhan Malaysia telah timbul apabila Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu pada 27 Mei 1961 mencadangkan penubuhan Malaysia yang mencantumkan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura.

Tujuan penubuhan Malaysia adalah untuk menangani masalah komunis, sekali gus mempercepatkan kemerdekaan wilayah British di Asia Tenggara. Ekoran itu, pada 15 Oktober 1961, PAS mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, di mana PAS mengambil pendirian tidak bersetuju dengan percantuman antara Tanah Melayu dan Singapura, sebaliknya bersetuju supaya ditubuhkan Melayu Raya yang bukan sahaja melibatkan wilayah British, tetapi juga Indonesia dan Pulau-pulau Melayu termasuk Filipina.

PAS juga mahukan hak ketuanan orang Melayu di seluruh Alam Melayu dijamin oleh undang-undang.

Isu utama yang berbangkit dalam menentukan sikap PAS terhadap Malaysia ialah kedudukan ketuanan orang Melayu yang terancam dengan kaum imigran.

Pada tahun 1951, jumlah orang bukan Melayu di Tanah Melayu ialah seramai 2,686,071 orang berbanding hanya 2,631,154 orang Melayu.

Jika Malaysia ditubuhkan hanya melibatkan wilayah British sahaja, sejumlah 1,348,100 orang bukan Melayu dari Singapura dan sekitar 500,000 lagi dari Borneo akan menjadi rakyat baru, sedangkan rakyat baru dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera Borneo Utara, Brunei, Sarawak dan Singapura tidak sampai sejuta orang.

Untuk membolehkan orang Melayu menjadi bangsa yang kuat, PAS mahukan seluruh Alam Melayu yang mempunyai hampir 300 juta orang Melayu bercantum atas nama Melayu Raya.

Pada 16 Oktober 1961 dan 1 Mei 1962 PAS telah mengemukakan di Dewan Rakyat supaya Melayu Raya ditubuhkan menggantikan Malaysia, tetapi usul PAS ditolak oleh Parlimen.

Pada 23 April 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal satu memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menjelaskan sikap PAS dan bahaya penubuhan Malaysia kepada kestabilan politik Tanah Melayu pada masa depan.

Bagi menyampaikan pandangan PAS terhadap masa depan orang Melayu ini, pada 25 April 1963, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mewakili PAS ke Perhimpunan Parti-parti Pembangkang untuk menentang penubuhan Malaysia.

Akhirnya pada 27Julai 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil pendirian rasmi PAS untuk menentang penubuhan Malaysia atas sebab membahayakan masa depan orang Melayu.

Berselang enam tahun kemudian, tercetus Tragedi 13 Mei 1969, iaitu rusuhan kaum terbesar di negara ini setelah orang Melayu hilang kuasa politik di beberapa negeri dalam Pilihan Raya Umum 1969 yang diikuti oleh perarakan politik anjuran DAP di Kuala Lumpur.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 April 2016 - HARAKAHDAILY 25/4/2016

Share on Myspace