Hamidah: Usahawan muda perintis masyarakat

HARAKAHDAILY | .

HAMIDAH Mokhtar, anak kelahiran Sarawak ini dikenali sebagai seorang usahawan muda dengan memegang jawatan sebagai pengarah Butik Real Hijab.

Beliau yang memegang Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan (Business Information System) dari Universiti Teknologi Petronas merealisasikan impian untuk meneroka dunia perniagaan dengan lebih mendalam.

Calon PAS N.29 Beting Maro ini bukan sahaja seorang peniaga yang berjaya sebagai Pengarah Butik Real Hijab, malah  juga bertindak sebagai arkitek anak bangsa dengan menyebarkan dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh oleh wanita yang berwajah mulus dan berpendidikan tinggi ini menjadikan Butik Real Hijab kian dikenali oleh ramai pelanggan di Sarawak.

Sungguh, kejayaan ini bukan sahaja kerana setiap produk yang dijual adalah berkualiti malah kepelbagaian dalam mencorakkan pemakaian dan gaya tudung produk yang menepati ciri-ciri syariat juga menyebabkan ramai yang tertawan dengan produk Real Hijab.

Butik Real Hijab yang dikendalikan oleh Hamidah ini sentiasa aktif, kritis dan kreatif dengan meluaskan pasaran seperti membuka gerai di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi mendekati anak muda untuk sayangkan amalan berhijab.

Hasil kebolehan dan kesungguhan Hamidah, banyak misi dakwah seperti memperjuangkan nasib saudara-saudara di Syria dan Palestin diterjemahkan melalui pakaian yang dijual.

Inovasi yang dilakukan terhadap produk yang dijual setiap bulan menjadi satu bukti yang membuka mata orang ramai bahawa beliau merupakan seorang wanita yang berpandangan jauh dan optimis dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Hamidah, wanita yang bersahaja ini turut mengerahkan keringat dalam media sosial bagi menghebahkan isu-isu semasa yang terjadi di Sarawak, Sabah bahkan Semenanjung.

Hal ini supaya, masyarakat dan pelanggan Butik Real Hijab turut menagih pahala menyambut seruan pertolongan daripada yang memerlukan.

Semoga kejayaan Hamidah ini menjadi inspirasi kepada anak muda khususnya dan masyarakat Beting Maro amnya supaya lebih kreatif dalam memajukan taraf hidup masing-masing.

Share on Myspace