Muhyiddin gagal fahami hak rakyat Kelantan

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap gagal memahami aspirasi perjuangan rakyat Kelantan apabila enggan menandatangani plak tuntutan royalti petroleum.

Sedangkan Presiden Pertubuhan R Kelantan, Nazri Deraman berkata perjuangan menuntut royalti petroleum berasaskan perjanjian dan selaras dengan Akta Pembangunan Petroliam 1974.

“Bagaimanapun malangnya dalam Deklarasi Rakyat, Selamatkan Malaysia yang digembling bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak disentuh usaha-usaha menghapuskan sikap diskriminasi politik.

“Termasuk juga terhadap negeri-negeri yang diperintah parti yang berlawanan antara pusat dan negeri,” katanya di sini.

Menurutnya juga kehadiran aktivis R pada program Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Nilam Puri Jumaat bagi mendukung kesungguhan pemimpin terbabit berjuang untuk rakyat.

Malangnya kata beliau ketika dihulur plak perjuangan bagi menyokong tuntutan royalti yang menjadi hak rakyat Kelantan, pemimpin terbabit enggan menandatanganinya.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku itu. Ini seolah-olah memperlihatkan beliau gagal memahami isu setempat ketika jelajah Deklarasi Rakyat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/4/2016

Share on Myspace