Bertembung: Bagaimana boleh bina kerajaan alternatif

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung kini sepatutnya dijadikan peluang keemasan bagi pembangkang untuk membuktikan mereka boleh berpakat bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, demikian tegas Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Menurutnya, pemimpin terdahulu telah mengajar bahawa Malaysia yang berbilang kaum ini mesti mempunyai politik bertolak ansur.

"Setiap parti politik mesti ada kekuatan masing-masing, dan mereka perlu bersedia berkorban untuk kebaikan kumpulan tetapi kini saya nampak sejak dahulu lagi sampai sekarang senario ini tidak ada di kalangan pembangkang," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menyifatkan pertembungan kerusi pembangkang pada PRN Sarawak sangat memalukan dan ia sudah tentu akan terus menguatkan BN.

"Jadi bangaimana kita hendak tuntut bahawa pembangkang boleh membina kerajaan alternatif yang stabil dan bertanggungjawab," katanya.

Mengulas pertembungan kerusi DAP dan PKR di lima Dun, beliau berkata, bukanlah kali pertama dan kelihatan mereka sepanjang masa tidak mendapat kerjasama baik.

"Baru-baru ini pun ada dua ahli PKR yang pegang jawatan penting dalam kerajaan Pulau Pinang pun dipecat tanpa diberi notis dan sebagainya, hatta dalam perkara kecil seperti itu pun tidak boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Perasmian Pelancaran Parti Ikatan Dewan Negeri Selangor dan pelantikan pengerusi.

Selangor merupakan negeri pertama mempunyai cawangan Ikatan selepas parti itu menjalinkan kerjasama dengan PAS bulan lalu.

Menurut Pengerusi Dewan Majlis Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman, mereka sudah mempunyai tiga bahagian di Selangor iaitu Klang, Petaling Jaya, Selayang dan mempunyai sayap wanita.

Katanya, mereka dalam proses membentuk exco di Selangor dan dijangka dalam waktu terdekat akan menjelajah seluruh negeri bagi menambahkan lagi bahagian-bahagian di kawasan lain. - HARAKAHDAILY 26/4/2016

Share on Myspace