Calon PAS Dun Lambir puji demokratik kaum Iban

IZWAN ABDUL HALIM | .

SIBUTI: Calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo menzahirkan penghargaan di atas keterbukaan yang ditunjukkan masyarakat Iban.

Menurutnya, walaupun PAS belum pernah menang di Sarawak, namun masyarakat Iban bersedia menerima dan mendengar pandangan diajukan PAS.

Puji beliau, masyarakat Iban yang majoritinya menghuni rumah panjang telah mempunyai kesedaran demokrasi tinggi sebagaimana ditunjukkan dari sikap positif mereka itu.

"Mereka semakin menyedari kuasa undi yang ada. Tuai (ketua) rumah panjang juga menyerahkan pilihan undi terserah kepada masing-masing anak buahnya.

"Kebijaksanaan menggunakan hak bersuara dan memilih undi serta keterbukaan seperti inilah yang akan menyuburkan lagi demokrasi," ujar Arif dalam kempennya menemui kaum peribumi itu.

Sementara itu, rata-rata masyarakat Iban yang ditemui menyatakan kemahuan mereka kepada perubahan.

Adu mereka, masih banyak kepentingan dan hak asas rakyat Sarawak tidak dipenuhi, sedangkan terdapat pihak yang terus mengaut keuntungan dan kekayaan negeri ini.

Keperluan asas terutama di rumah-rumah panjang gagal dipenuhi kerajaan memerintah dan dikecewakan lagi dengan banyak janji wakil rakyat tidak tertunai.

Antaranya adalah mengenai perbekalan air bersih, status tanah kediaman dan jalan perhubungan, juga pendidikan dan bantuan khas.

Tidak kurang mereka mengadu perihal wakil rakyat BN yang hanya muncul untuk mendapatkan undi mereka tetapi hilang setelah menang.

Masyarakat Iban juga melahirkan harapan agar persaingan pilihan raya tidak menjadi punca perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Mereka mahukan kehidupan aman damai dan harmoni serta limpahan kemakmuran Bumi Kenyalang dapat dinikmati rakyat negeri ini. – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace