BI perlu, tetapi angkat bahasa kebangsaan lebih utama

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAPIM mengalu-alukan gesaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar rakyat Malaysia memberi penekanan terhadap pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, yang menurut baginda peluang itu harus diberikan kepada setiap orang tanpa mengira latar belakang.

Kami memperakui galakan untuk menguasai bahasa dunia seperti bahasa Inggeris kerana ia merupakan antara bahasa perantaraan antarabangsa .

Sementara sememangnya Bahasa Inggeris adalah bahasa global bagi bidang saintifik, teknologi, perniagaan, akademik dan maklumat perdagangan antarabangsa , akan tetapi harus dicermati bahawa tidak boleh dinafikan ada bahasa lain juga yang turut maju membangunkan bangsanya dalam pelbagai bidang seperti bahasa Jerman, Russia, China, Jepun dan Perancis.

Rakyat negara-negara tersebut ternyata turut menguasai ilmu teknologi terkini dengan memajukan bahasa masing-masing sebagai teras pembangunan negara.

Jika hujah bahawa belajar bahasa lain akan membuka peluang lebih luas bagi generasi muda untuk menerokai dan memperoleh ilmu dan pengetahuan tanpa had dalam dunia globalisasi sekarang, hujah yang sama boleh diketengahkan untuk bahasa selain Bahasa Inggeris.

Yang menjadi isu sekarang ialah wujudnya sindrom tidak yakin bahawa Bahasa Kebangsaan boleh membawa kemajuan dalam bidang sains dan teknologi dan dengan itu ada pihak terus melobi untuk mengenengahkan Bahasa Inggeris sebagai perantaraan dalam sistem pendidikan negara.

Inilah yang sedang diperbahaskan apabila kerajaan memperkenalkan perlaksanaan PPSMI dan sekarang DLP pula, dalam sistem pengajaran di sekolah.

Dasar yang diperkenalkan itu tidak mengambilkira tujuan dan asas Akta Bahasa Kebangsaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka diwujudkan. Ia tidak sama sekali menafikan kepentingan memahirkan generasi muda dengan bahasa lain terutama Bahasa Inggeris.

Akan tetapi isu yang dibangkitkan ialah apabila status Bahasa Kebangsaan terjejas dengan memperkenal sebuah sistem perantaraan bahasa di dalam sistem pendidikan nasional yang bakal membantutkan kemajuan Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa ilmu sekaligus bahasa pembentuk jatidiri dan tamadun bangsa.

Boleh dipertikaikan hujah bahawa hanya dengan Bahasa Inggeris bangsa ini akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan masyarakat global dan budaya yang berbeza. Sebenarnya keyakinan datang dengan penguasaan ilmu yang diperolehi dari bahasa yang maju.

Oleh sebab pihak berkuasa tidak yakin dengan keupayaan Bahasa Kebangsaan untuk memajukan negara, maka ketidakyakinan diri bermula.

Contoh yang jelas timbul dari penguasaan bahasa yang telah maju dan mampu menyumbang kepada kemajuan dunia yang telah dibuktikan ialah negara-negara seperti Korea, Jepun, Perancis, Jerman dan China.

Kami bersetuju kelebihan menguasai lebih daripada satu bahasa. Galakan untuk menguasai bahasa lain sememangnya perlu digalakkan. Namun memajukan dan mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan sangat penting untuk diutamakan kerana Bahasa Kebangsaan membawa nilai dan falsafah tersendiri.

Lantaran itu sangat penting diberi perhatian bahawa memahirkan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda perlu dilihat dari sudut teknik pengajaran yang berkesan bukan mengganti bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan sekolah.

Meningkatkan daya saing negara dalam dunia yang dipacu teknologi dan globalisasi bukan dengan menurunkan status Bahasa Kebangsaan tetapi hendaklah dengan memajukannya sehingga boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

Ketika PPSMI diperkenalkan ternyata murid dijadi bahan uji sehingga akibatnya mereka menjadi mangsa terutama di sekolah di kawasan desa. Bukan sahaja penguasaan Bahasa Inggeris tidak tercapai, malah bidang yang dipelajari tidak dikuasai. – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace