Tidak mustahil PAS dapat 'anak sulung kembar'

IZWAN ABDUL HALIM | .

TERIK matahari dengan suhu kepanasan yang tinggi melanda negara ketika ini sememangnya membasahkan tubuh lagi memenatkan.

Dengan rahmat Allah, hujan lebat mencurah-curah turun pada malam menjelang Subuh hari penamaan calon PRN Sarawak.

Bagi kebanyakan orang, itu mungkin situasi biasa. Tetapi bagi para pejuang PAS, mereka meyakini dengan iman, itulah campakkan ketenangan dan peneguhan dari Allah.

Firman-Nya dalam ayat 11 surah al-Anfal yang bermaksud:

"Allah meneguhkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan serta untuk menguatkan hatimu dan memperteguhkan dengan telapak kakimu."

Bukan sekali, tetapi berkali-kali mereka menyaksikan perkara iman yang muncul pada detik seperti ini.

Bagi petugas yang kebanyakannya datang dari Semenanjung, ia sememangnya perjalanan panjang dan jauh.

Apatah lagi meluangkan satu tempoh masa, memperuntukkan sejumlah wang, meninggalkan pekerjaan, rumah dan kaum keluarga.

Anehnya bagi mereka yang tidak memahami, datang ke tempat di mana jurang perbezaan itu jelas ketara dan lebih pelik, di atas kertas PAS dilihat tidak akan menang.

Tetapi itulah mengisi dalam hati para petugas PAS, keyakinan kepada Allah yang tidak pernah malap dan cekal membawa 'misi tidak mustahil'.

Keterujaan terhadap kesungguhan para petugas PAS turut dilafazkan Setiausaha PAS Sarawak, Engr Muhtar Suhaili.

Akuinya, beliau kagum dengan kesungguhan para petugas yang disifatkannya telah melaksanakan gerak kerja paling tersusun sejak penyertaan PAS dalam PRN Sarawak.

Malah, beliau juga kagum dengan pengorbanan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee yang sanggup meletakkan jawatan dan gaji tingginya di Petronas demi melaksanakan taklifan selaku calon.

Sedangkan Jofri masih mempunyai empat anak yang ditanggungnya, selain isteri beliau tidak bekerja.

Dengan penuh semangat, Muhtar menyatakan, mesej mereka di Sarawak komited untuk bersama hasrat PAS membina negara dan masyarakat ini dengan nilai-nilai hidup Islam.

Keteguhan sama diungkapkan Jofri, biarpun tahu sukar untuk menang, tetapi keyakinannya tinggi kepada janji Allah.

Pernah kerana kebimbangan, lalu ditanya kepada beliau mengenai ketiadaan pegawai keselamatan yang mengiringinya.

Spontan beliau menjawab, "Allah yang menjaga keselamatan saya," ungkapan yang menggambarkan garis sempadan perbezaan keyakinan mereka-mereka yang larut dengan tarbiyah Islam.

Misi Anak Sulung

Pada Muktamar Tahunan PAS 2015 di Kuala Selangor, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan antara misi Dewan Pemuda adalah untuk melahirkan anak sulung pada PRN Sarawak.

Lontaran itu bukan propaganda, tapi tekad dan kepercayaan untuk direalisasikan di mana para Pemuda PAS silih berganti turun menyantuni warga Bumi Kenyalang.

Jurang perbezaan dikecilkan dan sebanyak mungkin persamaan diharmonikan dengan perjuangan tulus ikhlas datang membela Sarawak.

Tetapi sejak itu pengertian 'anak sulung' mulai menjadi perbincangan yang dibahaskan.

Beberapa ketika, Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula ada menyebut bahawa anak sulung boleh jadi kembar.

Kalimah 'kembar' itu kian membuka perbahasan banyak pihak. Diikuti perkembangan selepas proses penamaan calon iaitu menyaksikan pertembungan yang berlaku memungkinkan kelebihan kepada calon PAS.

Maka, kerancakan analisis mulai melihat bahawa 'anak sulung kembar' itu boleh jadi lebih dari dua.

"Yalah, macam orang dah lama kahwin, keluar (lahir)  anak sulung kembar empat. Ini semua kerja Allah," ujar seorang petugas PAS di Dun Pujut yang begitu optimis Jofri Jaraiee akan mencipta sejarah itu.

Terus Berkembang

Namun, seandainya tidak memenangi walau satu kerusi sekalipun, ia langsung tidak mengecewakan PAS.

Sebaliknya sebagaimana diungkap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS datang untuk meneguhkan Islam di negeri ini, iaitu hadirnya PAS adalah dengan membawa mesej dakwah.

Jelas menunjukkan penyertaan pada PRN ini menjadi kesempatan kepada PAS mendekati rakyat Sarawak dengan lebih dekat.

PRN ini menjadi saksinya, semua pimpinan PAS memberi tumpuan di Dun-dun ditandingi. Ustaz Nik Mohamad Abduh bergerak ke lima Dun kerana lima calon PAS kali ini adalah 'orang muda'.

Sekiranya menang, ia adalah bonus untuk PAS menunjukkan contoh khidmat, kepimpinan dan keterbukaannya kepada masyarakat Bumi Kenyalang yang penuh keunikan ini.

Kesediaan komitmen itu juga dapat dilihat antaranya dari slogan "Untukmu Sarawak, Sarawak Sejahtera" yang jelas suatu tekad panjang dan berterusan yakni tidak bermusim pada waktu pilihan raya.

Bermakna PAS semakin menyintai Sarawak sebagai bumi masa depan yang akan disuburkan dengan benih dakwah.

Kebenaran Terserlah Jua

Tidak sedikit PAS menghadapi ejekan, cemuhan dan tuduhan sejak keberadaannya di tanah besar Borneo ini. Begitu juga tatkala mengumumkan bertanding 11 kerusi dan kesediaan bersendirian.

PAS menyedari kedudukan dan cabarannya di negeri ini. Namun, ternyata banyak urusan PAS mutakhir ini lebih berjaya dan dimudahkan Allah. Sebaliknya, segala keburukan diungkap oleh para pesaing PAS telah berbalik menimpa mereka.

Inilah pertolongan Allah yang diyakini para pendokong PAS. Di sebalik segala kelemahannya untuk menghadapi pesaing, para pesaing pula saling memusnahkan diri mereka.

“Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tiada mengerti.” (Al-Hasyr: 14)

Sebaliknya, satu persatu kebenaran terserlah dan imej PAS kian menaik. Banyak pihak akhirnya mengerti pendirian dan prinsip PAS. Langkah PAS tidak kejang, tetapi jelas untuk maslahah rakyat dan negara.

PAS telah, sedang dan akan istiqamah menyantuni Sarawak. Semua pendokongnya yakin sinar Islam pasti bergemerlapan di Bumi Kenyalang kelak.

"Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan mengerjakan amal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai (Islam). Dan Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (an-Nur:55). – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace