PRU14: Ikatan tidak terfikir soal bahagi kerusi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak pernah terlintas berkenaan pembahagian kerusi antara mereka dengan PAS walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Presidennya Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil berkata, pihaknya mengiktiraf PAS sebagai parti tunjang yang besar di dalam negara dan akan terus menghormati parti itu.

"PAS ini umpama parti 'abang Long' dan kita akan hormati mereka. Dari awal lagi semasa melancarkan Ikatan saya tegaskan parti ini untuk genarasi akan datang bukan parti pilihan raya akan datang," katanya kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian katanya, masalah pembahagian kerusi sebagaimana berlaku di Pilihan Raya Negeri Sarawak antara PKR dan DAP tidak akan sama sekali berlaku di dalam kerjasama PAS dan Ikatan.

Katanya, Ikatan akan menjadi sebuah parti yang oportunis jika mereka memikirkan soal pilihan raya.

"Jadi isu-isu yang sepatutnya kita sokong kerajaan kerana ia baik untuk negara dan generasi akan datang tetapi kita bangkang akan membuatkan kita popular, jadi kita tidak mahu macam itu.

"Apa jua isu dasarnya adalah parti kalau isu itu baik daripada kerajaan kita tetap akan sokong kita tidak mahu yang baik itu hendak bangkang juga," jelas beliau.

Bagaimanapun, jelasnya Ikatan mempunyai ahli berbilang kaum dan ia tidak menjadi masalah kepada PAS untuk mengagihkan pembahagian kerusi.

"PAS banyak bertanding di kawasan orang Melayu dan campuran tetapi kami ada orang Cina, India, dan kalau hendak bertanding pun boleh bertanding di mana-mana. Buat masa ini saya tidak berminat untuk bertanding," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam majlis Pelancaran Cawangan baru Parti Ikatan Negeri Selangor di Taman Melawati semalam. – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace