Konflik Terengganu: PAS tetap berkecuali

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS mengambil sikap berkecuali dan tidak campur tangan dalam krisis yang berlaku di Terengganu sekarang.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tidak ada sebab parti itu campur tangan memandangkan ia masalah dalaman Umno.

Katanya setakat ini PAS  hanya memerhati perkembangan yang berlaku di negeri itu yang melibatkan konflik antara Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana.

"Itu masalah dalaman Umno biar mereka selesai sendiri,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim hari ini.

Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir dilucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Terengganu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Kerajaan BN berada dalam keadaan genting ekoran konflik tersebut kerana hanya mempunyai majoriti dua kerusi daripada pembangkang yang memiliki 15 kerusi.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga sebelum ini memberitahu parti tersebut tidak akan masuk campur isu pertukaran menteri besar Terengganu.

"Masalah yang berlaku di Terengganu sekarang tidak dibincangkan PAS di peringkat pusat,” kata Mohd Amar. – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace