Getah: PAS-Ikatan akan serah memo kepada kerajaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung masalah harga getah yang menyebabkan ekonomi pekebun kecil di luar bandar semakin tenat.

Pengerusi Ikatan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkata, masalah harga getah yang merundum ketika ini perlu diatasi segera kerana ia membabitkan ramai pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman mereka.

"Kita tidak akan tunggu sehingga pilihan raya barulah hendak memperbaiki nasib rakyat, harga getah merundum, kawasan padi pula tidak cukup air. Semua masalah ini kita kena atasi segera.

"Jadi kalau kita hendak tunggu PRU baru hendak selesai, maka perkara ini tidak akan beri faedah," katanya kepada Harakahdaily.

Oleh sebab itu, katanya, PAS dan Ikatan akan mula berkerja keras sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak tetapi kedua-dua parti ini bersetuju untuk memulakan dua isu besar iaitu masalah harga getah dan soal urus dana politik.

"Jka sebelum ini harga getah turun naik dalam tempoh lima ke enam bulan kini sudah lebih dua tahun harga getah tidak nampak mahu naik. Masalah ini akan berpanjangan," ujarnya.

Di dalam masalah ini katanya, kerajaan harus mencari jalan penyelesaian jangka panjang kerana getah sintetik boleh bersaing dengan getah asli akhirnya kenaikan harga getah asli  tidak akan berlaku lagi.

Jelasnya, PAS sedang merangka satu kertas cadangan asas untuk dibincangkan dalam sekretariat PAS dan Ikatan, dan cadangan itu akan dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah nasib pekebun kecil ini dan juga industri getah.

Bagaimanapun, bagi pihak Ikatan, Kadir sendiri akan menyediakan memorandum urus dana politik dan akan dibentangkan dalam sekretariat bersama PAS dan Ikatan untuk dikemukakan kepada kerajaan.

"Kertas ini kita menekan soal politik wang di dalam sesebuah parti politik. Misalnya apa yang berlaku hari ini apabila inginkan sesuatu jawatan perlu ada wang yang banyak, kalau hendak bertanding lebih-lebih lagi parti yang memerintah sama ada federal atau negeri.

"Secara tidak langsung akan menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan bagi mencari peluang mengumpul dana dan selepas itu bertanding dalam parti untuk jawatan penting. Inilah punca yang merosakkan kita," ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace