Zharudin hiba kenang nasib anak yatim

IZWAN ABDUL HALIM | .

BINTULU: Calon PAS N.70 Samalaju, Zharudin Narudin mendapati ramai pelajar dalam Dun itu tercicir dari persekolahan dan gagal menyambung pengajian.

Penemuan itu diperolehnya sepanjang fasa jelajah beliau bertemu para penduduk.

Menurutnya, keterpaksaan tersebut disebabkan kedaifan hidup yang menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan pengajian.

"Sedangkan kebanyakan mereka itu bagus dalam akademik serta mempunyai keputusan cemerlang. Kes-kes seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan saya akan cuba panjangkan ikhtiar agar mereka dapat dibantu.

"Saya juga pesan perkara ini kepada pimpinan masyarakat, ketua kampung dan tuai rumah panjang. Jika ada kes seperti itu terus hubungi saya, tak perlu protokol, kita cuba bantu," tawar beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Bintulu.

Menurut Zharudin lagi, beliau dapati di dalam Dun ditandinginya itu juga terdapat ramai anak yatim.

Jelasnya, mereka itu tinggal dengan datuk nenek setelah ibu bapa meninggal atau bercerai.

Katanya, anak-anak itu membesar dalam serba kekurangan disebabkan datuk nenek mereka sudah terlalu tua atau miskin.

Lebih menyedihkan beliau apabila didapati mereka itu bukan sahaja tidak mendapat pembelaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, bahkan ada yang diberhentikan dari bantuan sebelumnya.

"Alasan diberi tidak munasabah. Mereka itu sudah tua, tiada kemampuan kewangan dan tenaga untuk bekerja. Jadi tidak sepatutnya. Apatah lagi mereka sedang menanggung anak yatim.

"Islam mewajibkan kita membela anak yatim. Mereka kehilangan kasih sayang. Jadi bantulah mereka. Jangan susahkan hidup dan menafikan bantuan sepatutnya untuk mereka," ujarnya mengakui hiba bila bertemu mata dan melihat wajah anak yatim. – HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace