Hujan lebat akhiri kemarau di Gua Musang

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun bacaan suhu di bandar ini masih lagi sekitar 34 darjah Celsius, namun sejak empat hari lepas hujan lebat turun tiga hari berturut-turut di Gua Musang.

Malah paras beberapa batang sungai di Gua Musang juga meningkat sedikit berbanding sebelum ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang Abdullah Hussain berkata, hujan lebat berlaku tiga malam berturut-turut terakhir malam kelmarin.

“Ketika saya pulang dari Kota Bharu kelmarin di Paloh hujan turun agak lebat. Malah air sungai juga kelihatan keruh.

“Hujan turun lebat di Gua Musang selepas beberapa hari munajat dan solat sunat Istisqa diadakan di Kota Bharu awal pagi Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi.   

Beberapa hari lepas kelihatan kumpulan awam gelap berarak ke kawasan hulu. Keadaan itu berlaku sejak awal pagi sehingga tengahari.

Manakala di Limau Kasturi pula berlaku kejadian ribut petang semalam sehingga menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak.

Penyelia Parlimen Gua Musang Azman Ahmad dan Penyelia Dun Paloh Noraini Husin bersama petugas Majlis Tindakan Dun Paloh menziarahi mangsa-mangsa ribut.

Mereka juga menyampaikan bantuan beras dan keperluan lain kepada penduduk terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan kerajaan negeri bercadang melalukan pembenihan awan memandangkan musim kemarau belum lagi berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad berkata, usaha itu dilakukan bertujuan menghasilkan hujan.

“Pembenihan awam antara usaha yang sering dilakukan bagi menghasilkan hujan. Usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama syarikat swasta dan dibantu Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi,” katanya di sini semalam. - HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace