Pecah tanah masjid jadi gimik politik?

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Mungkinkah Masjid Razaleigh yang bernilai RM23 juta mengulangi episod serupa pernah berlaku terhadap projek lain kerajaan pusat di Gua Musang?

Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang siap lebih dua tahun gagal diduduki sehingga sekarang.

Begitu janji menggantikan segera jambatan baharu di Kampung Pulau Setelu yang runtuh akibat bah besar akhir 2014 belum menjadi kenyataan sehingga hari ini.

Masjid Razaleigh yang dilakukan majlis pecah tanah pada 13 April lepas disebut anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan siap dalam tempoh 18 bulan.

Bagaimanapun difahamkan sehingga sekarang Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) belum menerima sebarang permohonan bagi membina masjid terbabit.

Ahli Majlis MDGM Abdullah Husain berkata pihak berkuasa tempatan itu belum menerima sebarang permohonan membina bangunan Masjid Razaleigh.

Katanya proses membina masjid bukan perkara mudah kerana ia perlu dipastikan tanah yang akan dijadikan tapak perlu diwakafkan terlebih dahulu.

“Ini kerana setiap masjid di Kelantan diurus di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik),” katanya di sini.

Baru-baru ini Tengku Razaleigh melakukan upacara pecah tanah membina masjid reka bentuk seperti Masjidilharam di Makkah.

Masjid tersebut akan dibangunkan di kawasan seluas hampir tiga ekar di tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Abdullah juga berkata tapak yang dirancang dibina masjid tersebut milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) yang merancang membina pejabat cawangan di Gua Musang.

Menurutnya Jupem telah menjelaskan bayaran premium tanah tersebut kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bagi membolehkan bangunan pejabat dibina.

“Kita bimbang yang dilakukan anggota parlimen Gua Musang baru-baru ini tidak lebih sebagai gimik politik sahaja,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace