‘Bantal pemanas’: Kelalaian tugas Suruhanjaya Tenaga

S.M. MOHAMED IDRIS | .

LIMA tahun selepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan (pada 25 Oktober 2010) kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) mengenai penjualan “bantal pemanas” yang dipanaskan melalui bekalan elektrik, ST mengeluarkan arahan melarang import, pengilangan, penjualan, pengiklanan produk pada 23 Oktober 2015.

Bagaimanapun, tiada penguatkuasaan terhadap arahan itu. CAP dapat membeli satu daripada bantal ini pada 26 April 2016.

Produk Taiwan ini dipromosikan sebagai Bantal Pemanas Kesihatan, adalah bantal kecil yang diisi dengan cecair dan dipanaskan melalui elektrik melalui kabel elektrik dengan soket dua pin.

Bagaimanapun, ia tidak mempunyai pelekat EC/SIRIM, begitu juga ia tidak termasuk dalam “Senarai Peralatan Elektrik yang Memerlukan Sijil Kelulusan untuk Mengilang, Mengimport, Mempamer, Menjual atau Mengiklan dan Piawaian Prestasi dan Keselamatan Berkenaan” Suruhanjaya Tenaga.

Bantal itu dipromosikan sebagai bantuan kesihatan untuk “memanaskan tangan”, “memanaskan leher”, “memanaskan kaki yang sejuk”, “melegakan sakit perut”, “melegakan sakit sendi”, “memperbaiki pengaliran darah”, “mengeluarkan angin dari tubuh”, “melegakan sakit dan kesakitan tubuh”, “membantu menghilangkan kesakitan ketika haid pada setiap bulan”, “sebagai kegunaan selepas bersalin untuk membuang angin dalam tubuh dan meratakan perut” dan “sebagai rawatan alternatif bagi keguguran”.

Pada awal Disember 2010, ST memberikan maklumbalas dengan menyatakan bantal elektrik itu bukan dalam senarai yang diluluskan oleh ST. Ia juga berkata pengimport perlu memohon kepada ST (tetapi jelas tidak berbuat demikian) dan di sebabkan dakwaan perubatan yang keterlaluan, ia juga memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

CAP kemudiannya menulis kepada KKM dan ia memberikan jawapan acuh tidak acuh bahawa tiada penilaian dibuat berhubung mutu, keberkesanan di sebabkan produk itu tidak dikategorikan sebagai produk kesihatan.

Perkara ini terus berlanjutan dan pada Februari 2013, ST menulis bahawa memandangkan ia produk elektrik, ia telah meminta SIRIM supaya mengambil contoh dari pasaran untuk menguji jika ia memenuhi piawaian keselamatan, dengan menyatakan bahawa hasil ujian SIRIM akan menjadi asas terhadap tindakan yang akan diambil.

Empat bulan kemudian, SIRIM mendedahkan hasilnya yang menunjukkan bahawa beberapa parameter tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki.         

Setahun berlalu, pada April 2014, ST mengumumkan bahawa ia dalam proses bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk melaksanakan perintah menghalang pengimportan dan pembuatan bantal seperti itu.
 
Lima tahun selepas CAP memaklumkan kepada ST, ia mengeluarkan arahan kepada semua pengilang dan pengimport batal pemanas bahawa terdapat kes “kemalangan elektrik” melibatkan bantal tersebut, di mana ia meletup ketika digunakan.

Didapati bahawa bantal itu tidak memenuhi piawaian keselamatan. Oleh itu, di bawah Seksyen 101(2) Peraturan Elektrik 1994, ST melarang pengimportan, pengilangan, mempamer, mengiklan dan penjualan bantal pemanas melainkan ia memenuhi piawaian MS IEC 60335-1-2005.

Pihak ST mengetahui bahawa produk itu adalah tidak bermutu dan peniaga begitu berani untuk mengimportnya ke Malaysia dan menjualnya di pasaran. Malah enam bulan selepas arahan ST, bantal berbahaya ini masih dijual.

Suruhanjaya Tenaga gagal untuk menjalankan tugas mereka bagi memastikan semua peralatan elektrik selamat dan tidak mendedahkan bahaya kepada nyawa dan anggota pengguna. Ini merupakan satu kelalaian tugas dan melanggar kepercayaan yang diberikan oleh orang awam kepada ST untuk memastikan keselamatan produk.

i.CAP ingin mengetahui berapa banyakkah “kemalangan yang melibatkan elektrik” dilaporkan, berapa banyak kecederaan dan adakah terdapat kematian.

ii.Mangsa dan warisnya daripada kes bantal meletup ini boleh menyaman ST kerana cuai dalam melakukan tugasnya bagi memastikan semua produk menggunakan elektrik memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

iii.Pengiklanan semua produk elektrik perlu menyatakan nombor kelulusan/permit ST.

iv.Bantal pemanas ini masih dijual secara terbuka di kedai dan dalam talian. Pihak ST perlu mengesahkan sama ada ia kini telah memberikan kelulusan untuk penjualannya. Jika begitu, kenapa mereka tidak meletakkan pelekat kelulusan ST/SIRIM? – HARAKAHDAILY 28/4/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Share on Myspace