Bantah serentak konsert Emma Hewitt

HARAKAHDAILY | .

PADA hari ini, Khamis 28 April 2016, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Muslimat PAS Negeri Selangor dan Geng Ustaz membuat laporan polis secara serentak terhadap penganjuran Konsert Emma Hewitt dari Australia yang akan diadakan di Sunway Lagoon Subang Jaya Selangor.

Konsert ini ditaja oleh syarikat arak Asahi dan Summerby yang dikhuatiri menjadikan konsert satu bentuk pesta arak yang mengundang implikasi buruk kepada masyarakat khasnya di Selangor.

Laporan dibuat di Balai Polis Bandar Sunway Subang Jaya pada jam 3.00 petang.

Geng Ustaz diwakili oleh Ustaz Norazli Musa selaku Presiden yang juga merupakan AJK Kerja PAS Pusat.

Dewan Pemuda dan Muslimat masing-masing diwakili oleh Ustaz Hanafi Zukapli, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor.

Kehadiran para penyokong daripada mewakili Dewan-Dewan PAS Selangor dan Geng Ustaz seramai 50 orang memenuhi ruang legar Balai Polis Bandar Sunway dan disambut mesra dan penuh ukhuwwah daripada pegawai polis yang bertugas.

Pihak kami difahamkan oleh ketua balai, Sulaiman bahawa Konsert Emma Hewit tidak akan dibenarkan disebabkan bantahan pelbagai pihak termasuk PAS dan Geng Ustaz.

Pembatalan konsert ini disambut rasa syukur kerana usaha mencegah mungkar adalah tanggungjawab kita semua.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
28 April 2016 / 20 Rejab 1437 - HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace