NTP: Kerajaan mesti jujur nilai, selesai masalah rakyat

HARAKAHDAILY | .

YAB Perdana Menteri dalam pembentangan laporan prestasi Program Transformasi Negara (NTP) yang meliputi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)  menyatakan daripada aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), GTP telah mencapai 99% KPI penyampaiannya manakala ETP pula 111%.

Menjelaskan pencapaian ini, beliau menyebutkan fakta angka 5 petunjuk besar kejayaan NTP iaitu keluaran dalam negara kasar (KDNK), disiplin fiskal, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita, lebihan dagangan dan pengiktirafan atau penarafan antarabangsa.

Sekalipun secara umumnya ia menggambarkan bahawa semuanya adalah dalam keadaan baik; sebenarnya petunjuk-petunjuk itu jika dinilai menurut perspektif atau sisi lain akan memberikan gambaran bahawa sepatutnya Kerajaan perlu lebih berhati-hati dan membuat pembetulan serta penambahbaikan pada banyak aspek.

Petunjuk besar yang dibentangkan itu juga hanya setakat dapat memberitahu keadaan sosio-ekonomi negara dan tidak pada sosio-ekonomi rakyat secara terperinci dan sebenar.

Berhubung keadaan rakyat ketika ini, walaupun YAB Perdana Menteri mengkisahkan kejayaan cemerlang beberapa individu di dalam ucapan beliau, hakikatnya beliau hanya mampu memberikan 2 pesanan/peringatan kepada rakyat iaitu agar (i) berbelanja secara  berhemah dan (ii) membuat simpanan.

Beliau juga tidak mengemukakan petunjuk-petunjuk tertentu yang boleh menjelaskan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini. Beliau hanya menyatakan beberapa kejayaan Kerajaan menyediakan kemudahan awam dan memberikan bantuan yang sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menunaikannya kepada rakyat.

Masalah kemiskinan, bebanan hutang, kos sara hidup, pengangguran, jurang pendapatan, kuasa beli dan lain-lain lagi yang sedang dirasai oleh rakyat dengan penuh sengsara tidakpun disebut atau dibentangkan secara tulus dan telus.

Mungkin keindahan-keindahan yang dilaporkan ini hanya bertujuan memanfaatkan kesempatan yang ada bersempena PRN Sarawak yang sedang berlangsung. Tidak hairanlah jika hampir separuh ucapan beliau semalam banyak menyentuh berkenaan Manifesto Barisan Nasional Sarawak 2016.

Saya berharap, Kerajaan bersikap lebih jujur dalam memberikan khidmat kepada negara dan rakyat.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 28/4/2016

Share on Myspace