PAS istiqamah amalkan politik matang dan sejahtera

HARAKAHDAILY | .

Satu peristiwa yang amat mengguriskan hati berlaku di salah sebuah masjid di Jepak. Saya dan beberapa petugas kempen PAS Jepak menumpang di luar masjid tersebut untuk makan selepas solat.

Tidak semena-mena datang pengerusi masjid memberi amaran kepada kami. Beliau tidak membenarkan kami makan di tempat tersebut seolah-olah kami ada melakukan kesalahan.

Paling menyedihkan gayanya langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada kami. Kalaupun tidak mampu menghormati kami atas dasar berlainan parti, apakah layanan ini wajar kepada kami sebagai tetamu Allah?

Kami tidak datang untuk berkempen dan tidak juga mencemarkan masjid. Hanya datang untuk solat dan menumpang makan.

Rumah Allah milik kita bersama. Mengapa perlu ada diskriminasi yang sebegini di rumah Allah? Lapangan tempur begitu luas di luar teman, apakah kita tidak boleh bersatu di sini?

Syukur pada Allah meskipun dilayan sebegitu rupa, kami mampu bersabar dan tiada respons balas berbentuk provokasi yang dikeluarkan. Beginilah kami dibentuk di dalam PAS. Ukhuwah tetap dijaga, akhlak Nabi jadi ikutan.

Saya kemudiannya menghubungi pihak JAIS Bintulu untuk meminta pengesahan adakah salah kami menumpang sebentar di masjid itu.

Alhamdulillah saya memuji respons pegawai JAIS tersebut yang segera meminta maaf bagi pihak pengerusi masjid tersebut. Malahan beliau menyatakan akan menasihati pihak yang terbabit.

Inilah yang kita mahukan. Amalan politik yang matang, mengutamakan kesejahteraan dan mengelakkan provokasi serta kontroversi.

Saya yakin bahawa masyarakat Jepak khususnya adalah masyarakat yang lemah lembut dan mempunyai akhlak terpuji. Usah biarkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Teringat saya dengan pesanan Imam Hassan al-Banna: Jadilah kamu seperti sepohon pokok. Mereka melempari kamu dengan batu, kamu menggugurkan kepada mereka buah yang ranum.

Ada tiga jenis doa yang mustajab. Doa orang yang dizalimi, orang yang bermusafir dan ibu bapa untuk anaknya.

Ya Allah, di kalangan kami ada yang sedang bermusafir di bumi-Mu. Kau suburkanlah sinar Islam di bumi Sarawak ini dan kurniakanlah kemenangan kepada PAS.

Ya Allah, seandainya kami ini dizalimi, kuatkanlah kesabaran kami dan jadikanlah kami sebab hidayah untuk islam terus menyinari di bumi Sarawak.

Ya Allah, muliakanlah anak-anak kami dengan perjuangan islam ini. Jadikanlah kami dan mereka sebab hidayah kepada seluruh alam.

Catatan: Kiprawi Aman
N67 Jepak
Salam kemenangan PAS di Bumi Sarawak.

Share on Myspace