Pensyarah sertai PAS di Kota Bharu

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS kawasan ini mendapat suntikan baharu selepas disertai seorang profesional, mengisi ruang ditinggalkan bekas Yang Dipertua (YDP) Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kini bersama PAN.

Pensyarah sebuah universiti awam di Perak Dr Zulkeefle Yaacob hari ini menyerah borang menyertai PAS ketika mesyuarat agung kali ke-49 berlangsung pagi tadi.

Borang permohonan keahlian PAS itu diserah kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau yang baru tiba dari Perak awal pagi tadi sebelum itu memohon kemaafan kepada pemimpin dan ahli PAS kerana sering mengkritik parti tersebut ketika berada di pentas Umno.

Katanya, beliau lama berada dalam perjuangan bersama Umno terasa sedih dan hiba apabila diterima berjuang bersama jemaah PAS.

“Sebelum ini saya sering menulis di dada akhbar dan pernah menghasilkan sebuah buku mengkritik PAS.

“Namun setelah berlaku suatu peristiwa yang menimpa keluarga baru-baru ini pemimpin Umno tidak datang bertanya khabar.

“Malah ketika bersama Umno saya tidak pernah mendapat satu pun sumbangan kecuali kelayakan akademik yang saya miliki,” katanya selepas menyerah borang tersebut.

Mesyuarat PAS Kota Bharu berlangsung di Dewan Jubli Perak MPKB turut dihadiri Pemangku YDP Dr Rosli Alani Abdul Kadir, Timbalan YDP Datuk Anuar Tan Abdullah, Ketua Dewan Muslimat, Rohani Ibrahim, Ketua Pemuda, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi dan Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat.

Mesyuarat terbabit mendapat sambutan menggalakkan biar pun bekas YDP kini mengetuai PAN Kelantan.

Dr Zulkeefle juga berkata, keputusannya menyertai PAS tentunya berdepan dengan banyak risiko dari segi kerjaya memandangkan politik di Malaysia belum matang.   

Perwakilan dari cawangan-cawangan PAS kemudian mengambil peluang bersalam dengan pensyarah terbabit, malah ada yang begitu terharu. - HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace