Clement hargai petugas PAS masyarakat Iban

IZWAN ABDUL HALIM | .

SELANGAU: Kakus akan menjadi antara Dun anak sulung PAS pada PRN Sarawak, bahkan tidak mustahil PAS mendapat anak sulung kembar 11 serentak, demikian keyakinan calon PAS N.60 Dun Kakus, Clement Bayang.

Jelasnya, optimistik beliau itu kerana arus perubahan yang dihasratkan sekian lama oleh rakyat negeri Sarawak atas kekecewaan mereka terhadap pemerintahan BN.

Menurutnya, secara khusus kaum Iban yang merupakan majoriti penduduk dalam Dun Kakus merasakan mereka telah dizalimi oleh Kerajaan BN selama ini khususnya berkaitan agihan kekayaan negeri.

Malah katanya, kemarahan membuak-buak penduduk mutakhir ini adalah berkenaan isu tanah adat (NCR) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya fikir ini sambutan paling baik untuk PAS yang pertama kali melangkah ke Kakus khasnya dan Sarawak. Mereka (kaum Iban) memberi keyakinan pada saya sebagai calon PAS untuk memperjuangkan isu yang menjadikan mereka sangat marah ini,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Operasi PAS Dun Kukus, Tatau, di sini 28 April.

Clement turut melahirkan penghargaannya kepada para petugas PAS dari kaum Iban, selain negeri bantu iaitu PAS Perak, PAS Selangor dan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang komited melaksanakan gerak kerja.

Pujinya, semua petugas telah bekerja keras tanpa mengira cuaca panas dan hujan, malam dan siang, serta keadaan muka bumi yang mencabar, selain jalan raya ditutup atas sebab-sebab keselamatan.

Beliau memaklumkan, kerana jarak dan keadaan muka bumi, terdapat petugas perlu berkampung beberapa hari di satu-satu lokaliti kempen antaranya menyusur sungai dengan sampan untuk ke tempat tersebut.

Bekas penyanyi itu turut melahirkan hasratnya agar hubungan mesra antara petugas PAS dari pelbagai kaum dan agama di Dun itu tidak berakhir dengan selesainya operasi PRN Sarawak.

Serunya, beliau mahu agar mereka terus datang ke Kakus menjalin keharmonian seperti keluarga yang telah terbentuk.

Sementara itu Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Leftenan Jeneral (A) Mohd Nazree Mohd Aris yang mengadakan pemantauan berkala di Dun itu menyifatkan gerak kerja PAS di Kakus sebagai paling sistematik.

Kakus merupakan Dun terbesar dalam negeri Sarawak iaitu lebih besar dari keluasan Negeri Sembilan.  – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace