Haflah al-Quran tarik pelancong ke Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sinonim Kelantan sebagai Serambi Mekah, kerajaan negeri melangkah setapak lagi apabila memperkasakan lagi program Haflah al-Quran.

Program Haflah al-Quran Qari dan Qariah pertama kali diadakan malam semalam

bertempat di Tambatan Diraja, lokasi tumpuan pelancong.  

Program tersebut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata program berkenaan akan diadakan secara bulanan sebagai tarikan terbaru di Tambatan Diraja.

Katanya, selain haflah al Quran akan turut diselitkan program chit chat agama, santai anak muda, dikir maulud, nasyid, bacaan puisi dan pelbagai lagi.

“Usaha ini dilakukan sebahagian aktiviti pelancongan bertema Islam di Kelantan bagi menterjemahkan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya pada program berkenaan.

Tambatan Diraja menjadi tempat menyukat paras banjir. Terletak berhampiran Menara Tinjau yang kini menjadi tumpuan setiap malam.

Sebelum ini pelbagai aktiviti diadakan di situ termasuk memancing, kereta kuda, beca, gerai makanan dan 'food truck', gerai jualan, rekreasi dan riadah keluarga.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Md Anizam merasmikan Kelantan Matta Fair 2016 di KB Mall yang menawarkan pakej-pakej pelancongan menarik di negeri ini.

Program itu diadakan sehingga esok disertai agensi-agensi pelancongan.

“Saya berharap penganjuran Kelantan Matta Fair kali ini menjadikan industri pelancongan sebagai penjana pendapatan kepada rakyat.

“Industri ini tidak hanya sebagai acara santai sahaja. Kelantan mampu menjadi negeri pilihan pelancong pada masa hadapan kerana keunikan seni warisan dan budaya,” katanya semalam.

Oleh itu beliau berharap mendapat sokongan dan dokongan semua pihak untuk mempromosikan Kelantan kepada pelancong tempatan dan asing. – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace