BN bankrap idea bangunkan kesejahteraan rakyat

IZWAN ABDUL HALIM | .

BINTULU: Kerajaan sepatutnya menggerakkan usaha untuk meningkatkan taraf kesejahteraan dan sosioekonomi hidup rakyat dan bukannya semata-mata menumpu kepada pembangunan fizikal, demikian kritikan calon PAS N.67 Dun Jepak, Kiprawi Aman.

Menurutnya, Bintulu pernah mempunyai Adun yang menjadi Menteri Muda dan Ahli Parlimen selaku duta di mana seharusnya berperanan meningkatkan kemajuan hidup penduduk.

Malangnya ujar beliau, pembangunan di Bintulu hanya tertumpu pada aspek fizikal sedangkan ramai penduduk tidak berkemampuan untuk memilikinya.

Bahkan bidasnya, kerajaan dilihat tidak mempunyai idea untuk mengatur kesejahteraan kepada rakyat dengan kekayaan negeri yang ada.

“Pembangunan fizikal memang ada, tetapi penduduk sini terutama Iban dan Melayu tidak mampu beli. Ketika sama, banyak aduan berasas terutama kaum Iban berkaitan tanah adat (NCR). Mereka telah buktikan usaha dan dokumen berkaitan tanah itu.

“Mereka tidak puas hati kerajaan tidak menyelesaikan masalah mereka. Begitu juga ramai anak muda graduan di sini yang masih menganggur. Jadi apa perlunya ambil warga asing ke sini? Masih ramai penduduk Bintulu yang miskin, saya bukan hendak mereka hidup mewah.

“Ini sosial aspek penduduk. Jadi Dun Sarawak memerlukan wakil daripada pembangkang terutama PAS yang akan bertindak dengan peranan ‘semak dan imbang’. Bukan menjadi ‘Yes Man!’ sahaja,” ujarnya komited memperjuangkan nasib penduduk.

Terangnya, peranan pembangkang perlu dilihat sangat penting kerana rakyat sendiri melihat betapa kerajaan terpaksa mengemukakan banyak pemberian bantuan untuk menyokong keperluan hidup rakyat.

Contohnya ujar beliau, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tidak mungkin wujud tanpa desakan pembangkang terhadap taraf hidup rakyat.

Pun begitu rakyat katanya, jangan memahami peranan wakil pembangkang sekadar itu kerana PAS akan sentiasa melontarkan suara yang konstruktif demi kepentingan rakyat.

“Mungkin selama ini ada yang memandang PAS terlalu konservatif, imej lebai dan sisi-sisi lain. Tetapi hakikatnya kita membawa pendekatan Islam, juga kita ada profesional. Politik PAS ini punyai rujukan yang kuat dari al-Quran, as-Sunnah, qiyas dan ijmak ulama.

“Mungkin dulu mereka perlekeh perjuangan kita, tetapi kita ada kerajaan di Kelantan, dulu Terengganu, Kedah dan Perak, juga campuran di Selangor dan Pulau Pinang. Impak dari Semenanjung mesti dibawa ke sini,” serunya.

Menurut Kiprawi, BN tiada modal di sini selain pembangunan di mana mereka menggunakan ‘faktor ketakutan’ untuk mencipta ‘simpanan tetap’ pengundi yang terpaksa menyokong mereka.

Jelasnya, pada ketika ini PAS sudah pun berjaya memperkenalkan diri di kalangan penduduk Bintulu dari semua kaum termasuk di rumah-rumah panjang Iban. – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace