PAS ke Sarawak penuhi tugas dakwah, bukan cari musuh

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kehadiran PAS di pentas pilihan raya di Sarawak bagi memeriahkan demokrasi di samping berdakwah kepada masyarakat tempatan.

Oleh itu Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berharap masyarakat di Sarawak perlu memahami tujuan kedatangan PAS ke negeri itu. “Bukan untuk mencari musuh. Jauh sekali untuk memecah-belahkan masyarakat tempatan. Sebaliknya PAS datang untuk berdakwah mengenai politik Islam.

“Saya berharap masyarakat di Sarawak memahami perjuangan PAS. Alhamdulillah pengaruh PAS semakin meluas di negeri itu sekarang,” ujarnya ketika ditemui di JKR 10 semalam.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar kini masih bercuti selepas menjalani pembedahan di bahagian kepalanya di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian 14 April lepas.

Beliau juga berkata PAS akan terus berdakwah kerana politik berkaitan secara langsung dengan pembentukan kuasa dan kerajaan.

“Alhamdulillah dengan usaha yang dijalankan PAS walau pun melibatkan masa yang panjang, sedikit sebanyak sebaran dakwah telah dapat dilaksanakan.

“Insya-Allah Adun sulung PAS di Sarawak akan menjadi kenyataan berdasar penerimaan masyarakat tempatan ketika kempen sekarang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Sarawak khususnya di Benting Maro dan di 10 lagi Dun ditandingi PAS membuat pilihan terbaik pada 7 Mei ini. – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace