PAS namakan lidah rasminya 'Bulan Bintang'

HARAKAHDAILY | .

PAS NAMAKAN LIDAH RASMINYA "BULAN BINTANG" (30 APRIL 1967)

PADA hari ini dalam tahun 1967, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menamakan lidah rasmi PAS yang baru dengan nama "Bulan Bintang," iaitu satu nama yang sinonim dengan lambang PAS, Bulan Bintang.

Pada awalnya, PAS telah menamakan majalahnya ini dengan nama "Suara PAS" tetapi ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebabkan PAS memilih nama baru ini.

Pada 10 November 1966, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk menerbitkan semula lidah rasmi PAS, "Suara Islam" yang pernah diterbitkan sejak akhir 1956 hingga 1962, setelah mendapat pembiayaan sebanyak RM14,000.

Bulan Bintang adalah lidah rasmi PAS yang ketiga setelah penerbitan "Majalah PAS" pada 1953, diikuti oleh "Suara Islam"  yang terbit selama enam tahun mulai akhir 1956.

Setelah itu, PAS hanya menerbitkan risalah-risalah penerangan seperti "Siaran Mingguan PAS" yang terbit pada 1957 dan "Kursus Politik Islam" terbitan 1965.

Selepas Bulan Bintang, PAS menerbitkan pula "Berita PAS" ketika berada dalam kerajaan, sebelum menerbitkan semula "Suara Islam" pada 1979-1981.

Pada Ogos 1983, PAS mula menerbitkan "al-Harakah", yang diikuti oleh majalah tidak berkala pada 1986-1987, dan akhirnya pada April 1987, diterbitkan pula tabloid Harakah.

Bulan Bintang telah mulai diterbitkan pada Ogos 1967 secara bulanan dalam saiz dan bentuk majalah. Edisi terakhirnya diterbitkan pada Februari 1969.

Mulai 22 Mei 1969, iaitu setelah berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang mengakibatkan seluruh kegiatan politik digantung, permit penerbitan Bulan Bintang juga telah ditarik balik oleh KDN.

Sepanjang tempoh ketiadaan permit penerbitan ini, PAS telah mengeluarkan siarannya yang dinamakan "Siaran Penerangan" antara Januari hingga November 1970.

Pada 1 Januari 1971, PAS telah berjaya mendapatkan semula permit penerbitan Bulan Bintang, tetapi kerana faktor ketidakstabilan politik, Bulan Bintang hanya dapat diterbitkan satu edisi sahaja iaitu edisi Jun 1971.

Pada asalnya, majalah ini telah dicadangkan untuk diterbitkan dalam tulisan Rumi, tetapi kerana bantahan ahli-ahli PAS, akhirnya semua edisi Bulan Bintang dicetak dengan tulisan Jawi.

Sesuai dengan namanya yang Islamik, Bulan Bintang yang dipersetujui bernama demikian pada 30 April 1967 telah menjadi saluran kepada PAS untuk menyampaikan pemikiran-pemikiran Islam yang menjadi dasar PAS.

Secara umumnya, kandungan majalah ini, selain menyifatkan berita-berita kepartian, telah berjaya mengenegah dasar perjuangan PAS, dasar pemerintahan dan sistem Kerajaan Islam, pemikiran kebangsaan Melayu, kebudayaan Islam, sistem ekonomi Islam, reformasi pemikiran ke arah pembentukan negara Islam dan lain-lain.

Ia juga menjadi saluran bagi PAS untuk menjawab dan menjelaskan isu-isu semasa yang timbul, terutama berkait persaingan politik antara PAS dan Umno.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
30 April 2016 - HARAKAHDAILY 30/4/2016

Share on Myspace