Sekatan imigresen terhadap pelawat rugikan Sarawak

HARAKAHDAILY | .

Ramai pelawat dari luar terutama dari Semenanjung Malaysia mengadu masalah mereka sukar untuk masuk ke Sarawak ketika ini. Yang menjadi viral dan heboh sekarang adalah pihak Imigresen Sarawak tiba-tiba memberi pas lawatan terlalu singkat kepada pelawat dari Semenanjung dengan hanya boleh tinggal di Sarawak sehingga 5 Mei sahaja.
 
Tindakan ini tidak sepatutnya berlaku dan hanya akan memalukan Sarawak di mata dunia. Mengapa perlu menyekat rakyat Malaysia dari memasuki negara sendiri?  

Walaupun Sarawak mempunyai kuasa imigresen sendiri tetapi janganlah disebabkan ada kepentingan politik pihak tertentu ianya disalahgunakan.
 
Ini bukan sahaja menyusahkan dan merugikan para pelawat dari luar yang sudah lama menempah tiket pesawat bahkan secara tidak langsung ia menjadi sesuatu yang asing sekiranya rakyat Malaysia sendiri disekat masuk ke negara sendiri.

Sarawak adalah sebahagian dari Malaysia dan mengapa perlu menyalahgunakan kuasa imigresen untuk kepentingan tertentu.
 
Sekarang adalah musim Pilihan Raya Negeri Sarawak dan masa untuk rakyat memilih kerajaan baru. Maka adalah tidak wajar dan menyalahi etika sekiranya pihak imigresen mengikut telunjuk dari mereka yang ada kepentingan.
 
Mungkin kita tidak dapat hendak menyalahkan pihak imigresen dalam hal ini kerana mereka hanya menerima arahan dari pihak atasan.

Kalau sekiranya Ketua Menteri Sarawak (sementara) sekarang masih menggunakan kuasa imigresen untuk menjaga kepentingan peribadinya, maka amat malang sekali dasar demokrasi di negara ini sudah hampir mati dan seolah-olah kita sudah berada di negara yang mengamalkan dasar pintu tertutup.
 
Sepatutnya kerajaan sementara Sarawak bersikap lebih terbuka menerima tetamu dan pelawat dari luar kerana ianya banyak memberi manfaat kepada ekonomi Sarawak dengan kedatangan lebih ramai pelawat ke Sarawak pada masa pilihan raya ini. Ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan.
 
Justeru itu, kita menggesa pihak imigresen menarik balik sekatan tersebut terutama kepada pelawat dari Semenanjung Malaysia yang datang ingin melihat dan membantu petugas di Sarawak semasa pilihan raya ini.

Jika Barisan Nasional yakin mampu menang dan mengekalkan kerajaan, maka usah gentar dan tiada keperluan melaksanakan sekatan seperti ini.
 
Kerjasama daripada pihak imigresen agar masalah ini ditangani secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik amat dihargai.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak / Yang Dipertua PAS Kawasan Miri
Tarikh: 30 April 2016 / 22 Rejab 1437 - HARAKAHDAILY 30/4/2016

Share on Myspace