Umno terpaksa ubah strategi dekati PAS

ASLANI M | .

RANTAU PANJANG: Umno kini dikatakan terpaksa mengubah strategi dengan tidak lagi menjadikan PAS sebagai musuh.

Langkah itu diambil bagi memastikan parti itu terus relevan dalam arus politik negara.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata seperti terdapat arahan dari pucuk pimpinan Umno supaya tidak lagi mengkritik PAS secara terbuka.

Katanya, mereka seboleh mungkin mahu memuji segala tindak tanduk yang dilakukan PAS.

"Mereka sebenarnya cuba mengelirukan orang ramai seolah-olah PAS sedia bersama dengan Umno.

"Sekarang dapat dilihat ada usaha untuk mendekatkan pemimpin PAS supaya dapat berada di satu pentas dengan Umno," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan di markas tarbiah PAS kawasan, hari ni.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassurudin Daud, Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, Ketua AMK Kelantan Dr Hafiz Rizal dan rombongan Wira Perkasa diketuai Mohd Zaidi Abdul Razak. Hadir sama wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan dan dewan muslimat.

Nik Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata PAS juga perlu mengubah strategi dengan menjelaskan bersedia bergabung dengan semua pihak dan bukan sahaja kerjasama dengan Umno.

"Inilah konsep kerajaan perpaduan seperti pernah dicetus Presiden PAS sebelum ini di mana semua parti boleh berada dalam kerajaan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/4/2016

Share on Myspace