Pasti dekat di hati masyarakat Sarawak

HARAKAHDAILY | .

MIRI: Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) merupakan entiti pendidikan prasekolah milik PAS yang menjadi penghubung penting parti politik Islam ini dengan masyarakat di seluruh negara, bahkan juga di Sarawak.

Keberadaannya di Bumi Kenyalang ini ternyata dekat di hati masyarakat khususnya dalam menggerakkan peranan memberi pendidikan awal Islam kepada anak-anak.

Sambutan itu dibuktikan bukan sahaja dari penyertaan bersama anak-anak mengikuti pengajian di Pasti, malah penglibatan ibu bapa dalam kegiatan berkaitan.

Komitmen sama ditunjukkan apabila lebih 300 penyertaan diterima dari kalangan pelajar, ibu bapa dan orang awam pada Hari Terbuka Pasti Kawasan Miri yang diadakan di Esplanade Luak, di sini baru-baru ini.

Bertemakan “Juh Berkelah”, program secara santai itu turut menerima suntikan semangat dari Ketua Pemuda PAS Sarawak, Arifiriazul Paijo yang merupakan antara tenaga penting Pasti Sarawak.

Beliau yang juga calon PAS N.72 Dun Lambir pada PRN Sarawak menyifatkan penganjuran sedemikian membuktikan PAS bukan hanya wadah politik semata-mata.

“Pasti merupakan platform penting untuk anak-anak membina jati diri, akhlak, sahsiah dan juga mendekatkan diri kepada Allah,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraie yang juga calon PAS N.74 Dun Pujut yang telah sudi menyempurnakan pelancaran Program Menabung bersama pelajar cilik Pasti.

Pelbagai acara sukaneka diadakan melibatkan lima kontinjen Pasti seluruh kawasan Miri bersama ibu bapa dan orang awam, selain majlis turut diceriakan dengan kehadiran maskot rasmi Pasti iaitu Hadi dan Huda.

Bersempena penganjuran itu juga telah dilancarkan kempen ‘Bermain Sambil Menderma’ trampulin yang disediakan bertujuan mengutip dana Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) Pasti Kawasan Miri.

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

Share on Myspace