Pelaksanaan maqasid syariah selaras titah sultan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penganjuran Karnival Kampungku Kesayanganku (Karnival 3K) 2016 memberikan penekanan pelaksanaan maqasid syariah selaras dengan titah Sultan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata penekanan konsep itu ditumpukan kepada penjawat awam kerana mereka bertindak selaku pelaksana dasar serta polisi dirangka kerajaan negeri, lapor Selangor KIni.

“Kebiasaan hari pertama saya akan bertemu dengan Pejabat Agama Daerah tetapi kali ini kita adakan himpunan Maqasid Syariah di peringkat penjawat awam,” katanya dipetik selepas pelancaran Karnival 3K peringkat Daerah Hulu Selangor, semalam.

Berlangsung meriah di Masjid Al-Ubudiah, Kerling, penganjuran kali keempat bagi tahun 2016 ini dihadiri penduduk setempat dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Pelangi Hill Resort.

Ahmad Yunus berkata, Karnival 3K kali ini juga akan diserikan dengan Majlis Akad Nikah Perdana 13 pasangan yang membawa mesej bahawa konsep perkahwinan dalam Islam adalah mudah serta tidak membebankan.

Malam acara perasmian turut diisi Forum Perdana 3K dengan tajuk ‘Akidah Kukuh Perpaduan Teguh’ yang disampaikan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM) Ustaz Dr Roslan Mohamed dan pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor sementara Ustaz Farouk Faisal Anuar bertindak selaku moderator.

Setakat ini, tiga daerah sudah diselusuri Karnival 3K adalah Sabak Bernam, Klang dan Sepang.

Share on Myspace