BN musnahkan demokrasi di Sarawak

IZWAN ABDUL HALIM | .

Slogan digunakan BN dalam kempen Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 iaitu "Kami Tolak Pembangkang" jelas menunjukkan ketidakmatangan parti itu.

Apatah lagi ketika pilihan raya yang bertujuan untuk menyuburkan amalan demokrasi secara prinsip serta susunan tatacaranya.

Malah, ia juga satu bentuk provokasi dan menggambarkan keterdesakan mereka untuk meraih sokongan undi.

Sedangkan pada ketika ini kedudukan semua parti adalah sama rata iaitu tanpa kerajaan mahupun pembangkang.

Pemisahan antara parti politik dengan status 'kerajaan sementara' mesti difahami secara undang-undang digariskan.

Tekanan di pihak BN juga jelas ketara dengan label kempen "Adenan's Team" yang menjadi petanda keraguan dan kebimbangan mereka.

Kebanyakan calon terpaksa dipautkan dengan Adenan yang telah disucikan imejnya, sedangkan ramai mereka itu mempunyai rekod 'gagal' berkhidmat pada pertikaian rakyat.

Bahkan terlihat bahawa calon BN dari parti selain PBB berada pada 'kelas kedua' kerana seakan-akan tidak berada dalam 'Adenan's Team'.

Ketika sama banyak bendera dan papan tanda mini calon PAS yang dirosakkan serta dibuang.

Tidaklah dituding tuduhan kepada kem BN, tetapi setelah bahan-bahan kempen PAS itu dijahanamkan, bahan kempen BN pula naik di situ dengan banyaknya.

Begitu juga warak tidak bertempat BN yang kononnya tidak mahu institusi masjid dan agama 'dikotori' kempen politik.

Malangnya, BN sendiri mencabuli ketetapan itu dan berlagak dengan wajah sealim-alim manusia.

Oleh itu jangan dimusnahkan demokrasi ini dengan tindakan yang tidak bijak, terserah kepada kita untuk membudayakan masa depannya.

Share on Myspace