Muktamar PAS mengasaskan kepemimpinan ulamak

HARAKAHDAILY | .

MUKTAMAR PAS MENGASASKAN KEPEMIMPINAN ULAMAK (1 MEI 1983)

PADA hari ini dalam tahun 1983, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS yang bertujuan untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai institusi tertinggi dalam PAS, sekali gus menandakan bermula era kepemimpinan ulamak dalam PAS.

Muktamar yang berlangsung pada 30 April hingga 1 Mei 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ini adalah yang pertama setelah perletakan jawatan oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982. Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, satu resolusi supaya PAS mempelopori dan mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak telah diluluskan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS.

Bertolak dari keputusan Muktamar Tahunan PAS 1982 ini, pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri untuk mengkaji Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977.

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh Ustaz Yahya Othman, Haji Wan Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Hassan Ishak. Mereka telah mengemukakan laporan hasil kajian ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 April 1983 yang secara umumnya telah diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS itu, kecuali perkara berkait perubahan nama jawatan-jawatan parti.

Antara perubahan penting yang dicadangkan ialah perubahan fungsi Dewan Ulamak PAS dari menjadi penasihat hukum kepada penggerak tarbiyah, mengubah kuasa melantik Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa Kerja Lantikan dari Yang Dipertua kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS di semua peringkat, dan yang terpenting adalah untuk mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS.

Majlis yang dianggotai oleh 12 orang ulamak ini diketuai oleh Mursyidul Am PAS dan mempunyai peranan untuk mengawal dasar PAS, mentafsirkan Perlembagaan PAS dan mengawal tatatertib ahli PAS.

Secara umum, Majlis Syura Ulamak PAS berfungsi sebagai badan penasihat yang bersifat judikatif, sedangkan kuasa eksekutif kekal dipegang oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Yang Dipertua Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS adalah tertakluk kepada dasar parti yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Kejayaan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 pada 1 Mei 1983 ini adalah batu tanda bermulanya perlaksanaan konsep kepemimpinan ulamak dalam PAS, selaras dengan tajuk Ucapan Dasar PAS 1983, Ke Arah Pembebasan Ummah.

Menurut Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan PAS yang diluluskan ini, "mereka (golongan ulamak akan) memainkan peranan memandu, memimpin dan membimbing ummah dan gerakan Islam di dalam melaksanakan kehendak-kehendak syariat kerana hanya mereka yang mengetahui kehendak syariat itu" dengan tidak meminggirkan golongan bukan ulamak sebagai "pimpinan di peringkat perlaksanaan" yang "berpandukan kepada huraian dan ketetapan Majlis Syura Ulamak PAS."

Pindaan Perlembagaan PAS ini secara umumnya turut memperjelaskan tujuan perjuangan PAS untuk mempertahankan kesucian Islam, memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat, sekali gus menjadi panduan dalam berpolitik dan bernegara.

Pindaan ini walau bagaimanapun hanya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 15 Mac 1987, dan Majlis Syura Ulamak PAS telah bermesyuarat kali pertama pada 20 Oktober 1987 setelah ia ditubuhkan.

Dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 16 November 1987, Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace