Hari Pekerja: Nilai dasar yang dilaksana Umno BN

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan ‘Selamat Hari Pekerja’ kepada 12,000 orang kakitangan awam dan hampir setengah juta rakyat negeri Terengganu yang bekerja dalam pelbagai sektor.

Islam sangat menghargai para pekerja, sama ada kerajaan atau sektor swasta sehingga Nabi Muhammad SAW menetapkan peraturan buruh yang memerintahkan, para pekerja diberikan hak mereka dengan segera.  

“Berikan kepada seorang pekerja upahnya sebelum keringatnya kering.” (HR. Ibnu Majah, shahih).    

Bahkah kita semua adalah para pekerja, yang sangat penting kepada ekonomi dan pembangungan negeri Terengganu dan negara ini.  

Oleh itu, sebagai rakyat dan sekali gus sebagai golongan pengguna, pekerja ada golongan yang paling berpengaruh, yang menentukan kuasa pemerintahan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.  

Seharusnya, sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini, kita semua menilai dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).   

Setiap pekerja yang merupakan isi rumah, pasti dapat merasakan perbezaan kehidupan seharian sebelum dan selepas perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang telah mengurangkan kuasa beli dan meningkatkan kos sara hidup pada setiap hari.  

Oleh itu, para pekerja perlu mempunyai jalinan dan kesepakatan yang jitu antara mereka demi untuk mewujudkan kuasa ketiga yang lebih dihormati oleh kerajaan.   

Justeru, pemerintah tidak akan berani, sewenang-wenangnya melaksanakan sebarang dasar yang menekan dan menzalimi rakyat.

Selaku warga negara yang prihatin terhadap masa hadapan negara, pekerja yang berdedikasi perlu tegas dan berani menyatakan serta memperjuangkan hak mereka.

Para pekerja juga perlu membebaskan diri mereka dari hanya menjadi kumpulan pelaksana kepada golongan pembuat dasar, yang mana buah fikiran serta pandangan para pekerja turut diambil kira dalam menetukan dasar-dasar negara.

Tidak menjadi suatu kesalahan dalam Islam dan undang-undang negara dalam menuntut hak dan kebaikan, bahkan menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menentang kemungkaran dan menegakkan kebenaran.  

PAS mahu melihat sebuah negeri dan negara yang ‘sejahtera’ dengan para pekerja mendapat pembelaan dan bebas dari sebarang penindasan.  

SELAMAT HARI PEKERJA

SATIFUL BAHRI MAMAT
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan (Adun) Paka
24 Rejab 1437 / 1 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace