Negeri luas tapi rakyat tiada tanah sendiri

IZWAN ABDUL HALIM | .

SIBUTI: Royalti minyak dan gas yang menjadi hak Sarawak sekiranya dimanfaatkan sebaiknya mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat negeri ini, demikian ditegaskan calon PAS N.72 Lambir, Arifiriazul Paijo.

Malangnya ujar beliau, hak tersebut bukan sahaja dinafikan, malah kekayaan dari hasil minyak dan gas itu tidak diagihkan untuk keperluan negeri.

“Lihat sahaja Indek Pembangunan Jalan Raya Sarawak hanya 0.3 peratus iaitu negeri paling tercorot dalam Malaysia. Jadi kita mahu royalti itu sebagai hak rakyat Sarawak. Kita mahu bangunkan negeri, majukan negeri dan beri kemudahan kepada rakyat.

“Sebab itu kita Pemuda PAS sejak dahulu tuntut royalti ini diberi sebanyak 20 peratus, bukan lima peratus seperti sekarang,” gesanya ketika berceramah di Taman Tunku, Miri, di sini semalam 30 April.

Jelas Arif, beliau juga sangat bersetuju dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang pernah menegaskan bahawa menurut Islam, hasil minyak dan gas itu perlu diberikan sepenuhnya kepada Sarawak.

Terangnya, sehingga keperluan Sarawak diselesaikan baharulah dihantar untuk kegunaan negeri yang lain.

Tegas beliau, rakyat mesti berani menyatakan ketidaksetujuan mereka kepada kerajaan dengan menolak polisi dan dasar yang memberi tekanan dan himpitan hidup kepada rakyat.

Ketua Pemuda PAS Sarawak itu memberikan contoh berhubung kos pengeluaran minyak petrol yang hanya 16 sen seliter.

Tetapi kesal beliau, dijual kepada rakyat hingga hampir RM2 seliter, walaupun negara ini adalah pengeluar minyak, sedangkan Arab Saudi menjual hanya 40 sen.

Begitu juga bidasnya, turun naik harga minyak menyebabkan harga barang juga sentiasa naik tanpa pernah turun.

Arif turut menempelak Kerajaan BN Sarawak yang gagal menyelesaikan peruntukan geran pemilikan tanah kepada rakyat.

Menurut beliau, keluasan tanah negeri ini lebih besar daripada 12 negeri di Semenanjung Malaysia dan sepatutnya dengan jumlah rakyat yang tidak ramai kerajaan boleh memperuntukkan setiap rakyat dengan satu lot tanah.

“Tidak akan habis tanah di Sarawak ini jika diberikan kepada semua rakyat. Masih ada masalah ketiadaan tanah dan tidak memiliki geran tanah. Sepatutnya jika kerajaan memikirkan untung nasib rakyat dan generasi akan datang, sudah tentu mereka berikan tanah,” getusnya. – HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace