Sikap Menteri Kewangan yang membimbangkan

HARAKAHDAILY | .

MELIHAT cara Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengumumkan kelulusan projek-projek di Sarawak sempena pilihan raya negeri, rakyat tertanya-tanya apakah nasib negara jika Menteri Kewangan terus bersikap sedemikian.

Antaranya, Najib telah meluluskan  ‘serta-merta’ tiga projek di Kampung Long Laput, Telang Usan, Sarawak.

Memberi kelulusan memang mudah, seolah-olah tak perlu fikir panjang. Apakah penelitian sudah dibuat? Apakah semakan bajet telah dilakukan? Jika betul kewangan kerajaan sebegitu sihat, mengapa kerajaan perlu bersusah-payah nak berjimat seperti penjimatan RM240 juta dengan menganiaya pelajar cemerlang yang terbatal biasiswanya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Setiap kali ada pilihan raya, banyak projek yang diluluskan serta-merta tanpa melihat bajet dan kesannya. Dan setiap kali juga, ada yang tertipu dengan taktik sebegini.

Hatta bagi rakyat biasa, mereka terpaksa memikir soal bajet, dalam perkara seharian seperti melihat kos, membuat tawar-menawar barulah keputusan dibuat sebelum membeli sayur, ikan, daging dan buah.

Jadi rakyat tertanya-tanya apakah Menteri Kewangan Malaysia telah membuat penelitian dan semakan bajet sebelum meluluskan projek dengan serta-merta?

Mesti rakyat terfikir, kalau Menteri Kewangan ada sikap asas seperti rakyat marhaen sebelum membuat apa-apa pembelian, mengambil hutang, dan membaca sebelum menandatangani sesuatu, masakan mungkin ada masalah 1MDB seperti hari ini?

Yang penting, tabur janji, tabur kelulusan, asalkan ada rakyat yang percaya seperti adanya rakyat yang percaya 1MDB tidak bermasalah.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
1 Mei 2016 – HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace