Pengundi S'wak mesti berani guna hak lima tahun sekali

IZWAN ABDUL HALIM | .

SIBUTI: Rakyat Sarawak diseru agar menunjukkan keberanian menentukan masa depan mereka sendiri dengan membuat perubahan pada PRN yang akan diadakan 7 Mei depan, demikian gesa Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Ustaz Hassan Abdul Razak.

Jelasnya, perubahan dengan memberi undi kepada PAS atau parti lain akan memberi mesej kepada BN terhadap kuasa rakyat dalam memilih dan menentukan hak mereka.

Beliau mengungkapkan demikian semasa menyampaikan ceramah kelompok bersama calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo di Taman Tunku, Miri, di sini semalam 30 April.

“BN menjadikan rakyat takut kepada pemerintah. Sepatutnya pemimpin yang perlu takut kepada rakyat. Rakyat yang menentukan siapa menjadi pemerintah.

“Bila pilihan raya lima tahun sekali, pemimpin datang cari rakyat. Tetapi selepas menang mereka abaikan rakyat,” bidasnya yang berpengalaman bertugas di Wong Padong, Seri Aman pada tahun 1974 sebagai anggota Unit 11 Regimen Askar Melayu Diraja.

Katanya, Sarawak adalah negeri yang sangat istimewa berbanding negeri lain di mana mempunyai hasil dan kekayaan utama iaitu petroleum, balak dan lada hitam.

Terang beliau, hasil tersebut sangat banyak dan cukup untuk kegunaan negeri dan rakyat tanpa perlu dikutip cukai lain termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sedang dibebankan kini.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim/Bandar Baharu itu menegaskan bahawa hasil kekayaan negeri ini mesti diagihkan untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

“Bukan untuk pemimpin. Tetapi hari ini pemimpin (politik) senang lenang, rakyat diabaikan. Pemimpin dapat isi, rakyat dapat tempurung. Jadi tunjukkan keberanian kita menentukan masa depan sendiri dengan membuat perubahan.

“Kita PAS memberi jaminan, walaupun sebagai pembangkang, kita akan membela rakyat, membawa suara rakyat di dalam Dun Sarawak,” ujarnya yang bersara dari tentera dengan jawatan Sarjan pada tahun 1984.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Kedah semasa diterajui Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak turut berkongsi pengalaman PAS Kedah memerintah Kerajaan Negeri Kedah.

Menurutnya, PAS menjaga kepentingan rakyat hinggakan kebajikan ketika mati juga diberi perhatian, selain mengadakan ladang rakyat serta mengurangkan hutang besar negeri.

Beliau turut melontarkan nasihat agar pengundi tidak menjadikan tempoh singkat PRN untuk mencari wang, sedangkan akan merana 5 tahun selepas itu ditekan oleh polisi dan dasar yang tidak membela rakyat.

Semasa perkhidmatannya, Ustaz Hassan juga pernah dipinjamkan melalui Panglima 3 Briged, Brig. Jen. Abdullah Samsudin ke Majlis Islam oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’akub.

Beliau juga pernah bertugas di Kluang, Johor di bawah Briged Ke-7 dan bertukar ke Cawangan Penyiasatan Jenayah.

Setahun selepas bersara, beliau menyertai politik secara rasmi dan memegang jawatan selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim/Bandar Baharu serta Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace