Peranan alimat perkukuh kepimpinan ulamak

HARAKAHDAILY | .

MUQADDIMAH

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Taubah ayat 122,

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Islam adalah agama ilmu dan menekankan kepentingan ilmu kepada setiap muslim. Kejahilan adalah berlawanan dengan sifat Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada ummat manusia untuk mengeluarkan mereka daripada kejahilan kepada cahaya ilmu Allah.

Kewajiban menuntut ilmu bagi setiap muslim dan muslimah adalah perkara yang dilihat oleh Islam sebagai tanggungjawab untuk melahirkan ahli ilmu dalam masyarakat.

Ayat dalam surah At Taubah di atas menyatakan betapa pentingnya golongan ulamak dan alimat yang haraki dilahirkan dalam sesebuah masyarakat untuk menyampaikan ilmu dan menyedarkan mereka daripada kejahilan dan memberi peringatan kepada mereka dalam urusan dunia dan akhirat.

Ayat di atas menerangkan tentang bagaimana kepentingan golongan para ulamak dan alimat dan menjadi satu kemestian dilahirkan di tengah-tengah perjuangan Islam. Mereka merupakan nukleus dalam perjuangan dan menjadi satu tanggungjawab jihad ilmu yang mesti diusahakan oleh PAS. Jihad bukan sekadar berada di medan perang dan pertembungan dengan pihak musuh, malah jihad ilmu dari satu sudut memberikan kesan lebih baik dan efektif iaitu dengan mewujudkan satu golongan cendekiawan dalam perjuangan.

MUSLIMAH DAN ILMU

Diriwayatkan oleh Anas bin Mali bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلم

"..menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap muslim."

Tidak dikecualikan bahawa tuntutan mempelajari ilmu dalam Islam adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Muslimah juga diwajibkan untuk menuntut ilmu agama khasnya dan ini adalah merupakan satu penghormatan tinggi Islam terhadap golongan muslimah yang pada satu ketika dahulu pada zaman jahiliyyah mereka didiskriminasikan daripada mendapatkan ilmu.

Wanita hanya dianggap sebagai hamba kepada golongan lelaki dan ditugaskan hanya sebagai dalam urusan berkait soal wanita sahaja. Mereka dibiarkan jahil ilmu pengetahuan dan daripada pelbagai bidang.

Dengan kedatangan Islam, Islam mengangkat kemuliaan martabat wanita dengan diberikan hak sama dengan lelaki dalam kewajiban menuntut ilmu dan hak untuk mendapatkan ilmu. Pada zaman Islam, terdapat sahabiyyah yang bertaraf Fuqaha' seperti Saidatina Aisyah r.a.h. isteri Nabi s.a.w. sendiri. Beliau juga merupakan perawi hadis-hadis Baginda. Beliau tersenarai di antara orang yang paling banyak meriwayatkan hadis dan juga menjadi rujukan para sahabat dalam perkara hukum dan Ilmu Islam. Aisyah r.a.h. dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam.

Ini membuktikan betapa besarnya pengiktirafan Islam kepada muslimah dalam bidang ilmu pengetahuan. Tanggungjawab fardu kifayah mendalami ilmu agama ke umat Islam juga disahut dari kalangan muslimah yang turut dalam mempelajari pelbagai cabang dalam agama Islam dan ilmunya. Ada diantara mereka yang memiliki ijazah sarjana muda dan bahkan tidak kurang yang memiliki taraf kedoktoran

PAS DAN ALIMAT

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951 adalah sinonim dengan para ulamak. Sekumpulan ulamak yang bangkit atas kesedaran dengan menubuhkan PAS membawa risalah perjuangan politik Islam di lapangan demokrasi dalam negara ini.

Para alim ulamak yang pulang dari negara luar dan tamat pengajian dalam bidang masing-masing menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan Islam. Mereka mendapat pendidikan agama dan juga secara tidak langsung mendapat pendedahan tentang ilmu perjuangan Islam dan politik Islam dari tempat mereka belajar seperti dari Mesir, Jordan, Syria, lain-lain negara dan bahkan dari tanahair Malaysia sendiri. Mereka memahami dan merasai kepertanggungjawaban untuk memperjuangkan Islam maka PAS sahajalah wadah yang paling tepat dan benar bagi merealisasikan hasrat itu.

PAS dijadikan wadah dan platform para alim ulamak malah juga dan juga tidak dikecualikan para alimat yang turut mendepani perjuangan PAS. Muslimat kini juga telah ramai yang menyertai PAS yang ada dari kalangan mereka yang memiliki keilmuan yang cukup tinggi dalam pelbagai bidang profesional dan agama. Mereka ini terdiri dari kalangan para Ustazah yang memiliki keupayaan dalam bidang agama Islam setanding dengan ustaz dan muslimin.

Para ustazah ini walaupun memiliki tanggungjawab dalam pekerjaan masing-masing dalam bidang perguruan, pekerjaan, keluarga tetapi mereka juga melibatkan diri dalam perjuangan PAS. Mereka memimpin usrah-usrah muslimat cawangan, kawasan dan negeri. Mereka juga memimpin kerohanian dan fikrah muslimat PAS serta menjadi rujukan dan pemimp dalam program-program anjuran parti seperti tamrin, daurah, nadwah dan berbagai lagi. Keberadaan para ustazah ini memberi impak cukup besar kepada pembentukan fikrah dan melengkap kepimpinan muslimat dalam perjuangan PAS.

ALIMAT DAN KEPIMPINAN ULAMAK

Alimat dan para asatizah adalah merupakan elemen penting dalam organisasi parti PAS. Mereka tidak lagi hanya sekadar mengisi ruang-ruanh kosong dalam aktiviti dan program parti. Malah mereka yang sudah memiliki kemampuan ilmu dan pendidikan yang tinggi perlu menyedari bahawa PAS sangat berhajat kepada sumbangan mereka disamping sumbangan para aktivis dan profesional dalam parti. Alimat dan para ustazah sewajibnya mengetahui bahawa mereka adalah golongan yang dipilih oleh Allah s.w.t. yang diberikan ilmu dan kefaqehan dalam urusan agama. Bahkan mereka wajib mempraktiskan ilmu dan juga disampaikan kepada pihak yang lain dengan memimpin ke jalan yang benar diredhai Allah.

PAS amat bertuah kerana para ustazah dan alimat yang telah berjaya di lapangan ilmu mereka sekembalinya mereka di tengah masyarakat dan dakwah, merrka tetap memilih PAS sebagai wadah perjuangan Islam. PAS yang didokongi dengan konsep kepimpinan ulamak menjadikan penyertaan alimat dan para ustazah selari dengan keperluan PAS bagi mengisi dan memantapkan kepimpinan berteraskan ulamak.

Para ustazah dan alimat hendaklah mengambil aspirasi PAS dengan mendokong dan menyokong kepimpinan Ulamak dengan memberikan peranan dan sumbang efektif sebagai ilmuwan dan rujukan dalam PAS khasnya di kalangan Muslimat dalam PAS.

Keilmuwan dan kafaqehan mereka dalam cabang ilmu Islam mestilah dianggap sebagai tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan oleh agama agar disumbangkan bagi memantapkan dan memperkukuhkan PAS di persada politik tanah air.

Aspirasi kepimpinan ulamak bukan bermakna menolak golongan profesional dan aktivis parti tetapi ianya bermaksud bahawa semua penyokong dan pendokong PAS hendaklah ulamak dan kepimpinan ulamak nadi penting dalam perjuangan PAS. Para ulamak adalah mereka yang begitu banyak jasa dalam menyedarkan masyarakat dan ahli PAS khasnya dalam Islam dan perjuangan Islam. Peranan Alim Ulamak PAS dan juga Alimat adalah merupakan golongan yang menggerakkan kefahaman politik Islam pada ketika masyarakat beranggapan bahawa tiada politik dalam Islam dan juga menganggap politik adalah kotor yang tidak patut disertai oleh golongan agamawan. Allah s.w.t. sendiri memuliakan para ulamak dan alimat dengan menyatakan bahawa disebabkan keilmuwan mereka adalah merupakan hamba yang menggeruni dan takut kepada Allah berbanding hamba yang lain. FirmanNya dalam surah Fatir ayat 28,

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya, "...Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.."

Berkata Imam Sufyan al Sauri bahawa, Ulamak itu ada tiga jenis
عالم بلله عالم بأمر الله وعالم بلله ليس بعالم بأمر الله وعالم بأمر الله ليس بعالم بلله ;
فالعالم بلله وبأمر الله الذي يخشى الله تعالى ويعلم الحدود والفرائض والعالم بلله ليس بعالم بأمر الله الذي يخشى الله ولا يعلم الحدود والفرئض والعالم بأمر الله ليس بعالم بلله الذي يعلم الحدود والفرائض ولا يخشى الله عز وجل.
Maksudnya, Alim yang mengenal Allah dan mengetahui perintahNya, alim yang mengenal Allah tetapi tidak mengetahui perintah Allah dan Alim yang mengetahui perintahNya tetapi tidak mengenalNya.

Adapun alim yang mengenal Allah dan mengetahui perintahNya adalah mereka yang takut Allah azzawajalla serta memelihara sempadan dan kewajibannya.

Alim yang mengenal Allah tetapi tidak mengetahui perintahNya iaitu mereka yang takut akan Allah akan tetapi tidak mengetahui sempadan perintahNya dan alim yang mengetahui perintah Allah dan tidak mengenaliNya adalah alim yang tidak takut kepada Allah.."

PAS secara langsung mengakui dan mengambilkira peranan yang dimainkan oleh golongan alimat sehingga Ahli Majlis Syura PAS turut dianggotai oleh dua orang tokoh Alimat sebagai dari lapangan yang diiktiraf kemahiran mereka iaitu Dr Wahibah Tahir dan Dr Nazirah Mohamad.

PENGHARGAAN PAS KEPADA ALIMAT

PAS menghargai kewujudan para alimat dan ustazah dalam perjuangan Islam. PAS memberi pengiktirafan terhadap keilmuwan dan idea mereka dan sangat dialu-alukan melalui terutamanya sumbangan ilmu dan fikrah di kalangan ahli dan pendukung PAS. Maka di atas sebab itu, PAS mewujudkan Jabatan Alimat di bawah selian Dewan Ulamak sebagai bukti keseriusan PAS menerima kehadiran ramai dari kalangan para ustazah dan alimat dalam perjuangan Islam PAS.

Kemunculan Jabatan Alimat Dewan Ulamak PAS ini signal jelas telah wujud satu lagi sayap perjuangan PAS yang tidak kurang pentingnya dengan sayap parti yang lain seperti Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Bahkan sekiranya Jabatan Alimat ini semakin membesar dan keahliannya bertambah, keupayaannya meningkat dengan fungsinya yang begitu dinamik, tidak musthail bahawa Jabatan Alimat ini akan bertukar menjadi Dewan Alimat PAS setanding dengan yang lain.

Mudah-mudahan Insya Allah. Amiinn

Tahniah ke Jabatan Alimat PAS Selangor atas penganjuran Ijtimak Alimat pada kali ini, didoakan agar Jabatan Alimat terus maju dan istiqamah dengan perjuangan Islam dan menyumbang kepada keutuhan PAS di arena politik dan dakwah di tanah air.

Salam daripada ana Ustaz Muhammad Najhan, Dublin Ireland. Misi program Dewan Ulamak PAS Selangor bersama pelajar.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor - HARAKAHDAILY 1/5/2016

Share on Myspace