Ekonomi Selangor terus kukuh, penyumbang utama KDNK

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Selangor terus berada di kedudukan kukuh dengan menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkembangan itu didorong hasil keberkesanan dan sumbangan seluruh tenaga kerja di negeri itu, lapor Selangor Kini.

“Alhamdulillah, Selangor masih lagi menjadi penyumbang utama KDNK negara sehingga ke hari ini.

“Selangor berjaya menyumbang kepada perolehan 1/4 (1 per 4) KDNK kebangsaan yang mana setiap ringgit iaitu RM0.25 adalah datang dari negeri Selangor.

“Saya tegaskan bahawa setiap sen yang ada di dalamnya merupakan hasil keringat dan kerja kuat semua golongan pekerja di dalam negeri Selangor itu sendiri,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja di pekarangan Wisma MTUC, Subang hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri terus menghargai sumbangan tenaga kerja Selangor dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri berada di landasan terbaik.

Sebelum ini, unjuran ekonomi negeri berkembang sekitar 5.0 hingga 5.5 peratus berbanding jangkaan 2015 iaitu pada 4.5 hingga 5.5 peratus.

Sektor perkhidmatan dan perindustrian antara penyumbang terbesar kepada kemajuan perkembangan ekonomi negeri.

Mohamed Azmin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 sebelum ini berkata, pertumbuhan ekonomi Selangor naik sekitar 0.5 hingga 1.0 peratus itu disebabkan suasana ekonomi global yang getir.

Namun, beliau tidak menafikan krisis politik di Putrajaya boleh mempengaruhi perolehan keuntungan pelaburan ekonomi negeri.

“Negara hari ini bergelut dengan krisis politik dan kegawatan ekonomi berpunca daripada skandal kewangan 1MDB sekali gus menyababkan prestasi nilai ringgit berada dalam keadaan paling parah di Asean.

“Malapetaka kewangan negara turut melibatkan pelbagai skandal termasuk agenda menyemai prasangka perkauman sempit dan fahaman agama ekstrem yang secara keseluruhannya menghakis keyakinan pelabur,” katanya.

Share on Myspace