Tiada istilah putus asa dalam perjuangan Islam

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Perjuangan PAS untuk menegakkan Islam tidak pernah mengenal erti putus asa walaupun penuh kelemahan dan kekurangan, demikian motivasi Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Jelasnya, tentera Islam Badar pernah membuktikan bahawa dengan kelemahan dan kekurangan yang ada mereka tetap berjaya dengan izin Allah.

"Tidak ada yang mustahil dalam perjuangan Islam. Sebab itu penting sekali adalah kita meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah SWT.

"Kalau saintis Barat zaman dahulu mencuba berkali-kali hingga berjaya membuktikan teori mereka, kita pun tidak ada masalah untuk berusaha berulangkali.

"Tidak ada istilah putus asa dalam perjuangan memartabatkan Islam. Kita akan terus istiqamah hingga kemenangan," ujarnya yang juga calon PAS N.74 Dun Pujut bagi PRN Sarawak.

Beliau berucap demikian pada Majlis Temu Mata Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan (PERAKAN) di PASTI Ar-Rahman, Taman Tunku, di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah Pilihan Raya PAS PRN Sarawak, Dr Wan Nik Wan Yussuf.

Menurut Abdullah, Kelantan di bawah teraju PAS telah menjadi model dan guru politik bagi Malaysia serta menerajui banyak perubahan.

Antaranya sebaik sahaja PAS mengambil alih pada tahun 1990 dipimpin Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah memindahkan semua perbendaharaan negeri ke Bank Islam.

Kesannya hari ini dapat dilihat hampir semua bank konvensional turut mempunyai kaunter perbankan Islam.

Begitu juga maklumnya, dengan kuasa yang terhad, Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya memastikan tidak ada kegiatan rasmi berkait judi dan maksiat.

Malah, Kelantan adalah satu-satunya kerajaan yang paling terbuka apabila aktif mengadakan dialog bersama rakyat saban waktu.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan Menteri Besar, Dato' Ustaz Ahmad Yakob tidak ada bezanya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

"Dasar tetap sama, iaitu "Membangun Bersama Islam", cuma mungkin tubuh berbeza, pendekatan berbeza," jelas beliau.

Selain menikmati jamuan istimewa, ahli PERAKAN yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat.

Hadir sama Ketua Pemuda PAS Sarawak yang juga calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo. – HARAKAHDAILY 2/5/2016

Share on Myspace