Mesyuarat Agung Khas PAS bincang Penyata Reid

HARAKAHDAILY | .

MESYUARAT AGUNG KHAS PAS BINCANG PENYATA REID (2 MEI 1957)

PADA hari ini dalam tahun 1957, PAS telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas untuk membincangkan Penyata Reid sebelum Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra ke London pada 9 Mei 1957 untuk mengadakan rundingan terakhir dengan Kerajaan British.

Mesyuarat Agung Khas ini telah membahas dan memutuskan pendirian PAS berkait dengan Penyata Reid  setelah PAS sendiri mengemukakan Memorandum Maklumat Jus Soli pada 22 April 1956 dan Memorandum PAS Kepada Suruhanjaya Reid pada 14 Julai 1956 terhadap perkara berkait masalah kerakyatan, ketuanan bangsa Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Suruhanjaya Reid yang telah membuat kajian antara Januari hingga Oktober 1956, telah mendedahkan penyatanya kepada awam mulai Februari 1957 di mana 80 peratus daripada kandungannya adalah hasil cadangan Perikatan, termasuk menerima kerakyatan jus soli, memberikan hak istimewa kepada orang Melayu menggantikan hak ketuanan dan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, bukannya agama rasmi Persekutuan.

Penyata awal ini yang didedahkan oleh media pada awal Februari 1957 ini telah mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli Umno di seluruh negara, selain parti-parti pembangkang termasuk PAS.

Desakan ahli-ahli Umno telah merebak hingga Mesyuarat Agung Umno pada 28 Mac 1957 telah mengambil keputusan untuk tidak menerima bulat-bulat Penyata Reid.

Di pihak PAS di pelbagai peringkat telah bersepakat mengambil pendirian untuk menolak Penyata Reid sehingga akhirnya Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 18 April 1957 telah membuat pendirian rasmi untuk menolak Penyata Reid.

Mereka memutuskan untuk menghantar bantahan kepada Raja-raja Melayu dan Ketua Menteri berkait ketuanan Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan kebangsaan tunggal.

PAS juga akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 2 Mei 1958, diikuti oleh Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 dan pada 8 Mei 1957, PAS akan menemui Ketua Menteri untuk memaklumkan pendirian dan tuntutan PAS, sebelum Tunku Abdul Rahman Putra bertolak ke London pads 9 Mei 1957.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957, iaitu Hari Raya Aidil Fitri Kedua, ia berlangsung dalam keadaan kehadiran yang gagal memenuhi korum kerana bertembung dengan Hari Raya, tetapi terpaksa diteruskan juga.

Setelah mendengar Ucapan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy, satu kertas kerja bertajuk 'Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Reid'. Yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah.

Sebanyak 10 perkara berkait penyata ini telah dipersoalkan oleh PAS yang menganggap ia adalah "berlawanan dengan tertib politik negara ini" dan mahu "meruntuhkan terwujudnya sebuah negara yang merdeka," kerana suruhanjaya ini "masih berbau penjajah, (yang) bekerja untuk melanjutkan penjajahan di negara ini".

Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya mengambil pendirian untuk bersetuju:

I. Menolak Penyata Reid;
II. Menerima Penyata Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengulas Penyata Reid;
III. Menghantar rombongan menemui Raja-raja Melayu dan Ketua Menteri sebelum beliau bertolak ke London; dan
IV. Menghantar memorandum PAS kepada Raja-raja Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British dan Setiausaha Tanah Jajahan di London.

Setelah Mesyuarat Agung Khas ini, PAS membawa pendirian ini ke Kongres Kebangsaan Melayu Kedua dan akhirnya dibawa kepada Ketua Menteri pada 8 Mei 1957.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 2/5/2016

Share on Myspace