Arifiriazul aktivis dekat di hati masyarakat Lambir

HARAKAHDAILY | .

Calon PAS N.72 Dun Lambir, Mohammad Arifiriazul Paijo berada pada prestijnya tersendiri dengan memiliki keterampilan 3A.

Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman berkata, 3A itu ialah 'age' iaitu seorang yang muda dan bertenaga serta mewakili Generasi-Y.

Malah katanya, Arif memiliki 'ability' iaitu latar belakang pendidikan tinggi, kemahiran sosial, aktiviti kemasyarakatan dan profesionalisme, selain berpengalaman.

"Selain 'access' iaitu beliau ada hubungan dan rangkaian baik yang telah dibinanya dengan para pemimpin tempatan, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, masyarakat setempat serta kesatuan belia," ujarnya.

Menurutnya, peluang Arif pada ketika ini lebih cerah atas faktor imejnya yang mewakili PAS di mana masyarakat meyakini parti ini lebih bersih dan terbuka.

Katanya, Arif juga akan memberikan tumpuan pada isu nasional dan tempatan.

"Secara khusus, isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sangat membebankan rakyat di mana penduduk Lambir diseru menolak BN pada PRN ini sebagai isyarat bantahan.

"Ini isyarat besar dari satu kawasan yang kecil. Penduduk Lambir mewakili suara rakyat Malaysia membantah pelaksanaan GST," ujarnya yang juga sahabat karib Arif sejak 2006 dan pernah menetap di Miri.

Isu tempatan, Syahir menyifatkan Arif sudah sebati dan dikenali sebagai aktivis yang dekat di hati masyarakat Lambir.

Menurutnya, kewibawaan calon muda PAS itu terserlah sejak sekian dahulu yang menggerakkan inisiatif membantu kebajikan anak yatim, orang miskin, warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

Arif juga jelas Syahir, adalah pelopor projek-projek infra yang dilaksanakan atas nama "Untukmu Sarawak".

Malah katanya, Ketua Pemuda PAS Sarawak itu turut dikenali masyarakat setempat atas kesungguhannya menganjur program kemahiran untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk seperti kursus memasak, kursus baja dan lain-lain.

Share on Myspace