PAS hormati adat resam bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

Orang bukan Islam di Sarawak terutama di 11 kawasan Dun PAS bertanding tidak perlu berasa takut dan memandang negatif terhadap PAS kerana PAS sangat menghormati adat resam dan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

PAS Sarawak bukan parti perkauman seperti yang diwar-warkan oleh parti-parti lawan tetapi PAS Sarawak adalah parti Islam yang memperjuangkan hak untuk semua kaum dan bangsa. PAS Sarawak juga bersifat terbuka sesuai dengan dasar perjuangan Islam yang dibawa olehnya sejak ditubuhkan dengan rasmi pada 1996.

Sikap keterbukaan PAS jelas dilihat sejak dahulu lagi dan bertepatan dengan misi parti sebagai parti siasah dan parti dakwah.

Atas dasar keterbukaan itulah juga PAS Sarawak berkembang dan dapat menyampaikan dan menerangkan risalah Islam kepada rakyat termasuk kaum bukan Islam sehingga PAS Sarawak sudah bertapak kukuh selama 20 tahun di Sarawak sehingga ke hari ini.

Saya dan beberapa orang lagi adalah di antara pengasasnya diketuai oleh Allahyarham Ustaz Mansur Din. Saya telah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya pertama pada 1996 selama 9 tahun lamanya.

Sekarang PAS Sarawak sudahpun berkembang dan mengambang bukan hanya di Kuching bahkan sehingga ke Limbang.

PAS Sarawak akan sentiasa meletakkan agenda membela rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sebagai agenda yang penting untuk dilaksanakan sesuai dengan slogan PAS Untuk Semua dan Sarawak Sejahtera.

PAS Sarawak berharap masyarakat bukan Islam kini telah menaruh lebih kepercayaan kepada PAS dan calon-calonnya.

Justeru itu, pengundi-pengundi terutama orang bukan Islam di 11 kawasan Dun PAS bertanding agar memberi sokongan padu dengan mengundi calon PAS pada pilihan raya kali ini.

Cikgu Shokri Haji Fauzi
Pengerusi Lajnah Penerangan dan Urusan Media, PAS Sarawak
Ketua Penerangan PAS Kawasan Petra Jaya, Kuching

Share on Myspace