PRN Sarawak: Rakyat resah kehidupan makin susah

HARAKAHDAILY | .

Sekitar 18,250 pengundi yang bakal menentukan pilihan mereka sebagai wakil rakyat  Dun Samariang pada 7 Mei ini.

Jumlah tersebut jelas memberikan satu isyarat awal, tanggungjawab dan amanah untuk membawa suara rakyat ke peringkat Dewan Undangan Negeri adalah tugas yang perlu dilunaskan dengan baik.

Sehubungan itu, sepanjang tempoh berkempen, calon PAS N.07 Dun Samariang, Ustaz Yusof Ahmad Syarkawi telah berusaha bertemu dengan masyarakat tempatan bagi mendengar sendiri luahan serta kesempitan yang mereka lalui.

Keresahan yang sering melingkari anak tempatan adalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik, jalan perhubungan utama yang rosak, bantuan kewangan tidak diberikan kepada yang layak sebaliknya diberikan untuk individu tertentu sahaja.

Tidak kurang juga krisis peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup meningkat dan ada yang lebih membimbangkan kehidupan belia hanya berkiblatkan keseronokan tanpa ada tujuan.

Kesusahan hidup seperti tiada bernoktah namun terpaksa menelan liku-liku kehidupan yang susah jauh sekali untuk menikmati hidup mewah.

Melalui luahan yang disampaikan kepada beliau tersebut, telah memberikan beliau semangat untuk memastikan nasib rakyat dibela dan agama mereka dipelihara.

Seakan perlu membina semula sebuah kota yang sudah runtuh hiasan dalamannya sekadar indah pada pandangan luarannya sahaja, begitulah perubahan serta tugas Ustaz Yusof jika  diberikan mandat dalam Pilihan raya Negeri Sarawak ke-11.

Share on Myspace