Usahawan kecil sukar dapat bantuan kerajaan

HARAKAHDAILY | .

MIRI: Seorang usahawan kecil memohon bantuan dari pihak kerajaan agar dapat membina premis perniagaan untuk memudahkan beliau menjual hasil perniagaannya.

Kesukaran untuk memohon premis untuk bengkel memproses makanan ringan dan kuih tradisional telah menyebabkan Hadiah Haji Ghani seorang ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mengadu masalah ini kepada pihak PAS.

Menurut beliau, sudah tujuh tahun beliau menanti permohonan beliau agar diluluskan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan.

Sudah banyak kali beliau memohon agar pihak yang berkenaan memberi perhatian dengan masalah yang beliau hadapi tetapi semua itu tidak diberi perhatian samaada oleh parti beliau dan juga agensi yang berkaitan.

Beliau yang banyak bergantung dengan hasil jualan kecil-kecilan mengadu masalah ini kepada pihak PAS agar dapat menyuarakan masalahnya kepada pihak yang berkenaan untuk diberi perhatian.

Beliau amat mengharap dengan adanya bengkel memproses makanan ringan dan kuih tradisional itu nanti dapat meningkat pendapatan keluarga beliau dan ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi para usahawan kecil seperti beliau.

Kita menggesa pihak agensi pelaksana program dapat menyelesaikan masalah Puan Hadiah dengan segera dan meluluskan pemohonan beliau yang sudah sekian lama tertangguh.

Pihak kerajaan sepatutnya dapat memberi bantuan ini dengan sewajarnya kepada pihak yang amat memerlukan bantuan.

PAS tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sedia membantu menyuarakan masalah rakyat kepada agensi yang berkaitan agar masalah mereka diberi perhatian dengan sewajarnya.

Kerjasama dengan pihak agensi kerajaan yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan seperti yang dipohon dapat diproses dengan segera amat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Share on Myspace