Hubungan Selangor-Kelantan terus erat dan mesra

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut keberangkatan tiba Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Kota Bharu, pagi ini.

Baginda Sultan mencemar duli hadir ke Majlis Perasmian dan Pengurnian Kunci Rumah dan Perasmian Program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah, Daerah Bukit Awang, Jajahan Pasir Puteh.

Majlis penyerahan kunci rumah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, lapor Selangor Kini.

“Rakyat Selangor dan Kelantan terus mesra dan erat menerusi bantuan LZS yang membina rumah untuk orang miskin dan asnaf di Kelantan,” kata Mohamed Azmin menerusi laman Facebook.

Mohamed Azmin akan mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah menziarahi Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Kediaman Rasmi, JKR 10 pada jam 2.30 petang ini.

Pada 26 Januari lalu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra turut berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah sumbangan LZS di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong, Kuala Krai.

Dengan peruntukan berjumlah RM10.2 juta, seramai 60 keluarga dipilih menduduki Laman Seri Ehsan menerusi sesi bancian yang dilaksanakan pada Oktober hingga November 2015.

Ia bagi memastikan kelayakan mereka memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) dan Majlis Daerah Kuala Krai.

Rumah dengan keluasan 869 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas serta dilengkapi perabot dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,000 sebuah.

Laman Seri Ehsan turut dilengkapi dengan infrastruktur yang kondusif seperti surau, dewan serba guna dan enam lot kedai serta kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

Share on Myspace