Mengimbau kenangan tanah kenyalang

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Nasi putih yang ditanak, menguap perlahan-lahan dengan aroma beras wangi yang menggiurkan. Ikan pekasam Sungai Sarawak menjadi pelengkap juadah kami, beberapa petugas pilihan raya dari tanah Semenanjung yang meluangkan masa membantu PAS Sarawak yang masih anak dara sunti. Tantawi melahap perlahan juadah tengah hari itu, bergantian serta bersilang tangan dengan aku melicinkan pinggan lauk berisi ikan pekasam. Jadual siang kami tidak begitu padat, manakala waktu malam diisi dengan ceramah kelompok.

Aku dan teman-teman lain termasuk Ustaz Yusuf Embong mudik dari Kuching untuk tiba ke Beting Maro. Tahun 2001, Sarawak masih tidak cekap pengangkutan darat, kami terlena panjang dalam bot panjang dan bertukar bot pula di pesisir. Tanah kenyalang yang pernah dijarah keluarga Brooke itu sangat rencam suku etniknya, dengan flora fauna yang memancing tarikan sihir. Islam hanya dianuti oleh 28 peratus warga Sarawak. Kristian agak bersungguh menebarkan kepercayaan mereka, manakala ramai kaum suku etnik ini mengamalkan animisme atau paganisme.

Tantawi dengan kilas serban "pondok Pasir Tumbuh" membidik kameranya ke arah pemandangan yang cantik. Kumpulan kami ditempatkan di sebuah rumah bertiang gagah daripada kayu berlian yang kuat jika lama terendam dalam air. Markas sementara itu disewa daripada  penduduk tempatan. Ada sekumpulan petugas Kelantan yang gigih berkempen termasuk Haji Nasir Daud dari Kuala Kerai. Aktivis muslimah PAS mengadakan kempen rumah ke rumah dengan diselit pelbagai program menarik. Muslimat Kelantan tersohor dengan idea-idea kreatif menarik mad'u, sesuai dengan nama negeri mereka, Cik Siti Wan Kembang.

Petugas tempatan rata-rata masih lemah kefahaman agamanya."Anta jangan terkejut, jika masa azan Maghrib nanti, ada anak-anak tempatan pergi mengail ikan untuk masakkan lauk malam...mereka ni bertakbir tapi memakai seluar pendek," tukas seorang petugas daripada Kelantan. Aku memahami bahawa, PAS sebagai gerakan Islam menceburi pilihan raya Sarawak bukan semata-mata untuk menang ,namun jauh lebih besar ialah untuk menebarkan dakwah.
 
"Malam ini Riduan dan Tantawi berceramah di Pusa Hilir, jam 7.00, sila tunggu kat jeti, bot akan datang ambik ke Pusa di jeti seberang, ada van akan tunggu," arah mas'ul bertugas yang aku terlupa namanya. Petang itu aku dan Tantawi menunggu bot ke Pusa dengan hati berbunga. Sungai Sarawak dengan air yang hitam itu menyimpan seribu satu sejarah panjang warganya selama berabad lamanya. Sepi dan bungkam!

Malam itu kami berceramah di dalam sebuah rumah kayu dimana telah dihadiri oleh 13 orang pendengar, dua daripadanya ialah anggota Cawangan Khas PDRM. Kedua mereka gigih mencatat butiran ceramah dan sesekali membidik kamera ke wajah kami yang separuh kacak. Usai ceramah kelompok malam itu, setelah dijamu kacang rebus dan teh O, kami bergerak pulang sekitar jam 11.30 malam.

Sebuah bot kecil teroleng-oleng dalam Sungai Sarawak siap memuatkan kami beberapa orang petugas Semenanjung. Pengendali bot anak tempatan separuh umur memegang lampu suluh sambil memandu bot memintas arus sungai yang kelihatan menyeramkan pada waktu malam. Aku mematai setiap objek yang melintas atau yang muncul di permukaan air, deru angin dan air bukan lagi nyanyian Halpa yang mengasyikkan. Dadaku bergelombang dan mulut mengumat pelbagai doa yang pernah aku hafal sepanjang denai hidupku.

"Sungai ni banyak buaya ni..." Tantawi berdecak dalam kesunyian dan kengerian malam pekat.

"Woiii, diamlah," aku memprotes untuk mematikan segera labunan Tantawi. Buaya adalah raja sungai yang tajam mendengar, itulah mitos kami anak-anak kampung sejak mengenali buana ini. Tantawi budak pedalaman yang kini anggota Dewan Legislatif negara kawasan Temerloh.

"Memang wajib disiku lutut jenis Tantawi ni," aku bersuara dalam hati. Perut berkeroncong, nurani ketakutan menyergap tetapi itulah teman yang aku ada saat susah dan senang. Dia menyeringai senyum.

Kami tiba di markas, menyerbu dapur dan mengusung periuk ke rumah tamu. Tanpa hitungan detik yang panjang, nasi dan ikan Sungai Sarawak dilangsaikan dengan sangat harmoni. Suhu dingin malam hari dengan unggas bersenandung sangat mendamaikan, pagi hari pula dengan cericau burung sangat mengasyikkan seperti mengulit lena. Aktiviti dengan masyarakat Beting Maro berjalan aman, sesekali diganggu samseng politik yang menghalang kami berkuliah di masjid kampung. Kerja dakwah ini bukan hanya berlegar dalam masjid, kami berceramah di kedai kopi kampung. Pemilik kedai kopi meletakkan syarat, supaya semua pelanggannya dibayar makan minum dan sedikit bayaran padanya kerana membenarkan premisnya digunakan.

Ceramah tetap berjalan dengan khalayak pendengar mengunyah kuih sambil mencicip kopi. Aku tak pasti sama ada kognitif mereka dapat menangkap butiran yang ingin kami sampaikan, isu domestik yang sedang melingkari batang tengkuk rakyat jembel pedalaman Sarawak. Tugas kami menyeru mereka dengan solusi Islam, kalau bukan mereka, mungkin anak cucu mereka yang akan menggalang gerakerja Islam di Borneo ini.

Tahun 2001 telah berlari jauh ke belakang, Sarawak masih terpuruk dan terkebelakang dengan jurang sosio ekonomi yang sangat menjolok mata dengan negeri-negeri Semenanjung. Pilihan raya 2001, PAS meletakkan calon di Sadong Jaya, Beting Maro dan Samariang. Ianya proses memperkenalkan harakah Islam ini kepada masyarakat Sarawak serta dengan obligasi dakwah yang komprehensif. Sarawak mutakhir ini, perkembangan PAS jauh terkehadapan berbanding 16 tahun lampau. Kelompok kelas  menengah terpelajar telah mendominasi gerak kerja amal Islami dibawah payung PAS dan pada kali ini PAS mensasarkan untuk bertanding 11 kerusi Dun.

Aku menyeru seluruh teman-teman aktivis, marilah kita mengucur keringat di Bumi Kenyalang ini. Sarawak bukan sekadar gambir Sarawak dan mi Satok, tetapi tanah hijau yang subur dakwah dan memerlukan perhatian kita semua. Bukan kepalang harta dan curahan keringat yang diperlukan untuk menyuburkan Islam di Sarawak, namun apa pilihan yang kita ada demi untuk melihat fajar Islam menyirami tanah Borneo itu. Jom kita serbu Sarawak teman-teman! - HARAKAHDAILY 3/5/2016

Penulis ialah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace