Adakah Umno sudah baik, tanya Nik Abduh

BASIRON ABDUL WAHAB | .

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengingatkan aktivis pemuda supaya memahami perubahan strategi politik yang sedang berlaku kepada PAS mahupun Umno dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.
 
Berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS Pahang ke-34 di Darul Amin, Sungai Gau, kelmarin, beliau berkata Umno telah mengubah strategi politiknya. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Katanya, PAS juga sudah mengubah strategi dan pendekatan politik untuk berhadapan dengan Umno sesuai dengan perubahan iklim politik negara.  
 
“Kalau dulu, Umno lawan kita, kita lawan Umno dengan keras juga. Adakah apabila Umno  buat baik, kita nak pukul Umno? Tapi adakah Umno sudah baik?

"Kalau kita sepak Umno dalam keadaan Umno buat balik dengan kita, persepsi masyarakat terhadap PAS akan menjadi negatif. PAS digambarkan sebagai jahat, ini akan menghilangkan sokongan rakyat kepada PAS," ujarnya.  
 
Justeru itu, kata beliau PAS memperkenalkan strategi 'Politik Matang dan Sejahtera'.

"Kita bertanding dalam pilihan raya di kawasan majoriti umat Islam, kawasan Felda dan sebagainya.

"Kawasan sama juga turut ditandingi oleh Umno, kena layan Umno, Umno nak buat baik dengan kita terima, jika DAP nak buat baik, saya percaya Tuan Guru Presiden pun akan jumpa DAP,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
 
Beliau berkata, Umno memang ingin ‘berUG’ kerana Umno tahu mereka dalam keadaan lemah.

"Kita masuk gelanggang Umno, tapi bukan untuk 'berUG' tetapi untuk menyampaikan pandangan PAS kepada rakyat," ujarnya lagi.  
 
“Kalau dahulu (Umno) menakutkan rakyat dengan ketakutan dan kelaparan, ditarik subsidi dan sebagainya, hari ini rakyat mendengar sendiri dari pimpinan PAS, kenal PAS bukannya mengenali PAS dari pemimpin Umno,” katanya. - HARAKAHDAILY 3/5/2016

Share on Myspace