Penduduk Samariang tidak mahu ditipu lagi

HARAKAHDAILY | .

Keyakinan masyarakat Samariang masa kini adalah tinggi terhadap PAS, berikutan banyak tindak-tanduk daripada kerajaan sedia ada, tidak menunaikan hasrat keperluan masyarakat tempatan, terutama dalam isu-isu keperluan asas masyarakat seperti keperluan air dan elektrik.

"Saya sudah 10 tahun tinggal di sini, air ada. Tapi dalam sehari hanya satu jam sahaja air masuk," menurut apa yang diluahkan oleh masyarakat tempatan kepada Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din yang turut hadir bersama membantu jentera Pilihan raya PAS Samariang.

Masyarakat Samariang bertegas, pihak berwajib sepatutnya tidak wajar mengabaikan hak-hak keperluan asas masyarakat setempat.

Samariang merupakan lokasi yang bukanlah pedalaman, bahkan ia tidak jauh dari bandar Kuching yang pesat membangun. Itupun masih diabaikan perihal air dan elektrik untuk masyarakat Samariang.

"Kami tidak mahu ditipu lagi, sudah lama hidup di sini, api tidak ada, air tidak ada," tegas penduduk tempatan.

Masyarakat Samariang juga turut kesal dengan janji-janji yang ditaburkan oleh pihak kerajaan kepada mereka pada pilihan raya yang lepas.

"Jangan waktu mengundi baru nak ambil hati rakyat. Selepas mengundi tidak ingat rakyat, itu tidak boleh dan janji mesti ditepati," luah mereka ketika ditemui.

"Jangan pentingkan politik, ingat rakyat. Kami pun manusia biasa, kami pun nak hidup senang macam mana YB hidup," tegas mereka lagi sebelum beredar.

Share on Myspace