Arif prihatin keperitan hidup penduduk Lambir

IZWAN ABDUL HALIM | .

Keperluan dan rutin asas kehidupan rakyat menjadi perkara yang mendapat perhatian tinggi Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo.

Calon PAS N.72 Dun Lambir itu memandang serius terhadap masalah penduduk di mana tidak mempunyai kediaman yang asas dan selamat.

Ditambah pula terpaksa hidup mendiami tanpa bekalan air bersih dan elektrik, selain pemilikan tanah yang tidak selesai.

Sehubungan itu, beliau berusaha mengajukan permasalahan tersebut kepada pihak sepatutnya, selain berusaha menggerakkan dermawan masyarakat.

"Masih ada orang hidup seperti kami di zaman ini. Inilah 'dunia tersembunyi' sebenarnya," aju seorang pemuda di Kampung Subak, diziarahi Arif semalam.

Terdahulu, beliau turut meninjau perkembangan satu keluarga di Kampung Tunku Abdul Rahman yang mengalami nasib serupa.

Beliau turut menyuarakan pembelaannya terhadap nasib golongan nelayan dan petani ketika singgah di Tamu Simpang Bakenu.

Menurutnya, walaupun ada penduduk Sarawak yang menyara hidup dengan hasil laut dan pertanian, tetapi mereka lakukan dengan sedaif-daifnya.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana tidak ada inisiatif dan bantuan sewajarnya dari pihak tertentu agar golongan itu dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Apatah lagi katanya, untuk mengembangkan usaha penduduk ini menjadi produk hiliran yang boleh diluaskan pasarannya serta mendatangkan tambahan pendapatan.

Beliau juga mendapati ramai rakyat negeri ini terabai dari sudut kesihatan oleh faktor perkhidmatan yang terhad.

"Sedangkan Sarawak ini ada royalti, kaya dengan hasil petroleum dan gas, banyak hasil bumi. Tapi semuanya diambil dan dimiliki oleh orang lain.

"Kerajaan yang ada tidak memikir untung nasib negeri dan rakyatnya. Menjadilah kita hidup seperti ini," ujarnya pada acara sukaneka di Kampung Berjaya Lama.

Share on Myspace