Thailand bina benteng banjir lebih tinggi

SALMAH MAT HUSAIN | .

RANTAU PANJANG: Kerajaan Thailand menggunakan peluang ketika paras air Sungai Golok surut sekarang membina benteng banjir, sebaliknya usaha seperti itu tidak dilakukan kerajaan Malaysia.

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata sepatutnya Malaysia juga melaksanakan kerja-kerja membina benteng bagi menghalang aliran sungai ketika musim banjir.

Katanya, pembinaan benteng sedang giat dijalankan di sebelah Thailand berhampiran Kampung Munduk.

“Limpahan air banjir dijangka lebih besar berlaku di sempadan Kelantan memandangkan kerajaan Thailand membuat benteng lebih tinggi.

“Projek tebatan di sebelah Thailand mungkin tidak melibatkan kos besar berdasar kerja-kerja yang mereka lakukan,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pembinaan benteng di Kampung Munduk dekat sini.

Pekan Munduk merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan rakyat Kelantan kerana menawarkan pelbagai barangan dengan harga lebih murah.

Kedudukannya bersebelahan dengan Kampung Jeram Perdah di sebelah Kelantan, boleh dihubungi dengan bot atau perahu.

Sementara itu petang semalam Siti Zailah bersama Adun Gual Periuk Ustaz Muhamad Awang dan Datuk Bandar Golok, Suchada Panara menyertai orang ramai bersantai di Sungai Golok.

Orang ramai yang mengambil peluang bersantai dan mandi manda di Sungai Golok memandangkan sungai semakin cetek.

“Fenomena air sungai berkenaan yang semakin cetek begitu mengujakan masyarakat di Rantau Panjang dan Golok bersantai.

“Kesempatan itu diambil penduduk bersantai bersama keluarga. Ada juga yang berniaga dan bermacam-macam lagi aktiviti sejak air Sungai Golok cetek,” katanya. - HARAKAHDAILY 3/5/2016

Share on Myspace